Philadelphia: Pengendali Flamengo, Filipe Luis memuji semangat juang luar biasa anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Chelsea 3-1 dalam saingan Piala Dunia Kelab, sekali gus menguasai kedudukan teratas Kumpulan D.
Kemenangan itu membuktikan kekuatan mental dan daya tahan pasukan Brazil berdepan kelab elit Eropah, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas dan lembap yang jelas memberi kelebihan kepada wakil Amerika Selatan itu.
“Saya sangat bangga dengan pasukan. Sejak awal, kami percaya kami mampu menang. Kami tahu kualiti kelab Eropah, tetapi mereka tidak biasa dengan keadaan cuaca seperti ini,” kata Filipe Luis.
Flamengo bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan awal Chelsea dan memanfaatkan kelebihan selepas penyerang The Blues, Nicolas Jackson dilayangkan kad merah hanya empat minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Insiden itu menjadi titik tolak kejatuhan Chelsea dalam perlawanan yang sepatutnya menyaksikan mereka mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati lebih awal.
Jackson sebelum ini turut digantung kerana kad merah dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle bulan lalu, sekali gus mencetus persoalan mengenai disiplin pemain muda itu.
“Saya belum sempat bercakap dengan Jackson. Tapi, ia memang layangan kad merah yang sah. Flamengo berhak menang, tahniah kepada mereka,” kata pengendali Chelsea, Enzo Maresca.
Maresca mengakui keputusan itu menyukarkan laluan Chelsea, yang kini perlu menang ke atas Esperance de Tunis untuk mengelak pertembungan dengan juara Kumpulan C yang terdiri daripada gergasi seperti Bayern Munich, Benfica dan Boca Juniors.
“Kami cuba sesuatu yang berbeza kali ini untuk persiapan masa depan, tetapi ia tidak menjadi,” tambah Maresca.
Pertahanan Chelsea, Marc Cucurella menyifatkan tindakan Jackson sebagai ‘kemalangan kecil’ yang memberi kesan besar kepada pasukan.
“Dia cuba rebut bola tapi terkena kaki lawan. Dia masih muda dan perlu belajar. Tiada siapa yang sempurna,” katanya.
Jackson akan digantikan oleh penyerang muda Liam Delap yang dijangka mengetuai jentera serangan Chelsea dalam aksi terakhir kumpulan menentang Esperance.
Kemenangan itu menyaksikan Flamengo kini dalam laluan terbaik untuk mara ke suku akhir, manakala Chelsea perlu mengelak sebarang kesilapan jika mahu kekal dalam saingan.
Filipe Luis menyifatkan kemenangan ke atas kelab dari Liga Perdana itu sebagai bukti bahawa bola sepak Amerika Selatan masih mempunyai taring di pentas dunia.
“Di Copa Libertadores pun saingannya sangat ketat. Tapi seperti yang saya kata, dalam bola sepak, pasukan terbaik tak semestinya menang. Kami tunjukkan hari ini kami lebih bersedia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




