Flat usang jadi sarang ular sawa, nilai hartanah menjunam

Flat usang jadi sarang ular sawa, nilai hartanah menjunam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Flat Sutera, Taman Desa Bakti, Selayang, yang berusia 31 tahun bukan sahaja kotor dan daif, malah kini menjadi sarang ular sawa sejak beberapa tahun lalu.

Lokasinya yang strategik dan berada bersebelahan Pasar Borong Selayang, tidak mampu menaikkan nilai hartanah tapak berkenaan, sebaliknya nilai flat itu hanya sekitar RM75,000 hingga RM150,000.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengadakan lawatan kajian khas ke tapak itu bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Ketika mengikuti lawatan itu, peserta ekspedisi mendapati dalam jarak kurang 10 meter sudah boleh menghidu bau hanyir ekoran takungan air dipenuhi sampah yang tidak diurus sejak sekian lamanya.

Malah, pelbagai kerosakan terdapat pada bangunan berusia lebih 30 tahun itu, antaranya saluran paip yang bocor, sampah yang berselerakan dan pembiakan nyamuk yang tidak terkawal.

Lantai yang licin dan berlendir menyukarkan pergerakan, malah tinjauan mendapati beberapa blok flat itu dibiarkan kosong dan tidak berpenghuni.

Lebih membimbangkan, flat yang mempunyai 148 unit itu kini menjadi pilihan pekerja asing, terutamanya warga Myanmar yang hanya membayar sewa sekitar RM450 hingga RM500.

Nga berkata, rakyat tempatan di kawasan itu sudah mula meninggalkan flat berkenaan dan perkara itu adalah kerugian besar kerana nilai aset merudum serta tidak berkembang.

“Sekitar tempat itu banyak kereta terbiar, sistem pengurusan sampah yang tidak terurus, perparitan yang kurang memuaskan kerana tidak ada banyak pengurusan yang berfungsi di flat berkenaan.

“Malahan, kewujudan ular sawa di kawasan itu sudah menjadi lumrah. Dari segi ekonomi, harga flat itu tidak setanding dengan harga pasaran di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media ekspedisi itu, di sini, hari ini.

Terdahulu, tiga bas membawa lapan Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan sembilan Ahli Dewan Negara memulakan perjalanan dari Parlimen.

Lawatan itu membabitkan tinjauan ke dua flat uzur di ibu kota bagi mengkaji keadaan daif serta isu-isu setempat yang dihadapi penduduk, sebelum meninjau kejayaan dua projek pembaharuan yang membangunkan semula flat usang menjadi kawasan kediaman moden dan berdaya huni.

Nga berkata, melalui lawatan itu, kerajaan ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB yang dirangka sejak 2013 dan dijangka dibentangkan Jun ini.

Katanya, ketika mengadakan lawatan itu, penduduk tempatan yang ditemui menggesa supaya pembaharuan flat itu dilakukan dengan segera.

“Setakat ini, lebih 90 peratus penduduk di kawasan itu sudah memberi persetujuan bertulis untuk melaksanakan projek pembangunan semula.

“Namun, ketiadaan Akta PSB (pindaan) menyebabkan projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang lama memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemilik,” katanya.

Nga berkata, selain memastikan rakyat mendapat pulangan setimpal, Akta PSB akan melindungi penduduk daripada ditipu atau dianiaya oleh pemaju.

“Tanpa akta, kerajaan tidak boleh campur tangan. Oleh itu, pemaju boleh buat pelbagai taktik.

“Sekarang kita ada jawatankuasa mediasi. Kalau penduduk atau pemilik tak setuju, boleh jumpa Ketua Pengarah, dia akan duduk jadi pengantara,” katanya.

Selain melawat dua lokasi lain iaitu Flat Kuchai Jaya dan Razak Mansion, rombongan ekspedisi kemudian tiba di lokasi terakhir iaitu Residensi Kerinchi di Bangsar South.

Beliau berkata, Residensi Kerinchi dahulunya hanya berkeluasan 399 dan 504 kaki persegi (kps) dengan harga asal RM70,000.

“Selepas siap dibina semula pada 2016, keluasannya adalah 800 kps dan bernilai hampir RM450,000.

“Ia dilengkapi dengan bilik sukan, kolam renang, kedai serbaneka dan gelanggang futsal serta mempunyai akses terus ke pusat beli-belah KL Gateway,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top