Fokus dalam gerak kerja dengan indikator kualiti

ANTARA perkara yang penting, utama tetapi sukar dalam menjayakan sesuatu gerak kerja ialah fokus. Terutama jika kita berada dalam organisasi yang besar. Kadang-kadang bila terlalu fokus dengan satu bidang kerja yang kita lihat penting, akan ada orang lain yang memandang ianya kurang penting. Mungkin kerana orang lain pula memandang bidang gerak kerjanya lebih penting. Atau ada yang akan melihat kita sepertinya ijtiza’ atau menjuzukkan kerja Islam.

Antara cabaran untuk fokus dalam sebuah organisasi yang besar ialah terlalu banyaknya kerja dan memerlukan tenaga yang ramai. Ada masa kita diminta untuk memegang sesuatu jawatan atau lebih dari satu jawatan. Kita akan menolaknya pada peringkat awal untuk kekal fokus dengan satu-satu bidang kerja yang ingin kita jayakan. Tetapi suasana dan keperluan menuntut kita untuk tidak boleh menolaknya. Malah kadang-kadang sepertinya terpaksa dan dipaksa.

Advertisement

Mungkin ada sesuatu keperluan mendesak ketika itu di sisi kepimpinan atau organisasi memerlukan kita memerimanya. Tetapi, maklumkan kepada mereka yang bertanggungjawab menuntut kita memegangnya bahawa kita akan buat setakat yang termampu sahaja tanpa menggadaikan keutamaan kita kepada tugas utama yang ingin kita fokus. 

Jika ada figura lain yang sesuai nantinya, kita bersedia melepaskannya. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Dalam situasi sebegini juga, ia akan memberi satu kesedaran dan keinsafan kepada organisasi betapa pentingnya usaha melahirkan lagi seramai mungkin anggota yang  berkualiti.

Indikator kepada kualiti itu kadang-kadang subjektif berasaskan kepada keperluan gerak kerja. Ada yang bersifat tetap dan ada yang berdasarkan keperluan semasa. Namun muwasafat yang disenaraikan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam membentuk Fardil Muslim ini boleh juga kita jadikan sebagai asas rujukan:

(1) Aqidah yang sejahtera (سليم العقيدة)
(2) Ibadah yang sahih (صحيح العبادة)
(3) Akhlak yang mantap (متين الخلق)
(4) Berpengetahuan luas (مثقف الفكر)
(5) Mampu berdikari (قادرا على الكسب)
(6) Tubuh yang kuat atau sihat (قوي الجسم)
(7) Sangat menjaga masa (حريصا على وقته)
(8) Sistematik dalam gerak kerja (منظما فى شئونه)
(9) Mujahadah melawan nafsu (مجاهدا لنفسه)
(10) Bermanfaat kepada orang lain (نافعا لغيره)

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 14/6/2021