Pendidikan anak-anak dan remaja Muslim menuntut satu pendekatan holistik, bersepadu dan berpaksikan nilai Islam yang sahih. Al-Quran dan sunnah menggariskan asas pembentukan insan seimbang dari aspek akidah, ibadah, akhlak, intelektual, emosi dan sosial.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).” (Surah al-Tahrim, ayat 6)
Ayat ini jelas menunjukkan pendidikan bermula daripada tanggungjawab keluarga dan perlu diperkukuh masyarakat serta institusi pendidikan.
Dalam Islam, pendidikan kanak-kanak bermula sejak awal usia. Imam al-Ghazali menegaskan jiwa kanak-kanak diibarat sebagai amanah suci yang bersih dan pendidik bertanggungjawab membentuknya ke arah kebaikan. Rasulullah SAW menekankan peranan ibu bapa membentuk akhlak melalui peringatan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Ini bermaksud pendidikan awal keluarga faktor terpenting membentuk identiti moral seorang Muslim. Maka, asuhan akidah, adab, dan cinta kepada Allah serta Rasul perlu ditanam sejak kecil.
Realiti masyarakat Malaysia hari ini memperlihatkan krisis akhlak kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Kes buli di sekolah, ponteng, ketagihan gajet, penyalahgunaan dadah, gejala tidak menghormati guru, vandalisme, seks bebas serta peningkatan masalah mental dan kemurungan menjadi isu yang sering dilapor.
Malah, kes membuli hingga membawa kecederaan dan kematian seperti beberapa kejadian yang tular dalam media sosial, menunjukkan wujudnya jurang besar antara ilmu akademik yang dipelajari dan pembentukan akhlak yang sepatutnya menjadi asas pendidikan.
Dalam menangani masalah ini, pendidikan Islam menekankan pentingnya pembinaan akhlak berpandukan Al-Quran dan sirah Nabi SAW sebagai model pendidikan terbaik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Oleh itu, pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek kognitif dan pencapaian akademik, tetapi perlu menekankan ta’dib – iaitu pendidikan berasaskan adab merangkumi hubungan dengan Allah, manusia, diri sendiri dan alam.
Pendekatan Imam Abu Hanifah yang terkenal dengan kaedah tarbiah melalui perbincangan dan pembinaan akhlak serta al-Ghazali yang menekankan penyucian jiwa melalui mujahadah nafs dan pembiasaan ibadah wajar diintegrasi dalam sistem pendidikan semasa. Penerapan modul olat berjemaah, halaqah, usrah, tazkirah serta pembudayaan adab dan akhlak di sekolah dan universiti perlu dijadikan sebahagian kurikulum wajib, bukan sekadar program sampingan.
Isu rotan sebagai hukuman dalam pendidikan sering jadi perdebatan dalam masyarakat. Islam tidak menolak disiplin fizikal dalam pendidikan selagi ia berpada, bertujuan mendidik dan tidak mencederakan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengarah supaya mendidik anak solat dan jika enggan selepas 10 tahun boleh dikenakan rotan. (Riwayat Abu Dawud)
Namun, ini bukan lesen untuk menghukum sewenang-wenangnya, apatah lagi guna kekerasan yang menghina maruah. Hukuman dalam Islam ada etika dan batas jelas: tidak melampau, tidak dilakukan ketika marah, tidak menyakitkan dan hanya apabila nasihat, teguran serta kaedah lain gagal. Dalam konteks Malaysia, penyalahgunaan rotan kadang-kadang berlaku sehingga mencetus trauma dan keganasan rumah tangga. Maka, pendekatan terbaik ialah gabungan disiplin tegas dan kasih sayang; berdasarkan komunikasi, kaunseling, pembentukan karakter serta hukuman bersifat mendidik, bukan mencederakan.
Namun mengharap hukuman tanpa membaiki sistem pendidikan tidak cukup. Masalah akhlak remaja tidak dapat diselesaikan dengan rotan semata-mata, tetapi perlu reformasi pendidikan menyeluruh. Sistem pendidikan perlu berubah daripada orientasi peperiksaan kepada orientasi insan. Guru perlu dilatih bukan hanya sebagai penyampai ilmu akademik, tetapi murabbi yang memimpin jiwa, membimbing akhlak dan memodelkan adab. Keluarga perlu diperkasa sebagai institusi pendidikan utama – melalui ilmu keibubapaan Islam, contoh teladan, komunikasi harmoni, kawalan gajet dan pembinaan rutin ibadah keluarga seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran di rumah.
Cadangan penyelesaian menyeluruh termasuklah pengukuhan pendidikan akhlak berasaskan modul Tarbiyah Islamiyah di sekolah; penghayatan sirah dan akhlak Rasul; kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah, masjid dan masyarakat dalam program pembangunan sahsiah; serta penggunaan media sosial untuk menyebarkan konten dakwah dan akhlak yang menarik kepada remaja. Kaunseling, psikologi Islam, terapi kerohanian dan pendekatan motivasi juga perlu diperhebat bagi menangani cabaran mental dan emosional. Program intervensi awal di sekolah rendah dan pendidikan pra-sekolah dengan penekanan adab, akhlak dan karakter perlu diperluas agar pencegahan masalah berlaku sejak awal.
Pendidikan remaja Muslim perlu kembali kepada asas tarbiah ruhiyyah, ta’dib dan tazkiyah al-nafs yang diterap Rasulullah SAW kepada para sahabat. Pendidikan mestilah mendidik hati sebelum minda, membentuk adab sebelum ilmu dan mengasuh jiwa sebelum mengejar kejayaan material.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




