SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan langkah memperkemas sistem penjualan tiket bas ekspres tidak menjejaskan persaingan pasaran sehingga mengehadkan kebebasan pengguna memilih platform tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, pemberian hak eksklusif penjualan tiket kepada terminal bas berlesen berpotensi mewujudkan monopoli, sekali gus mengurangkan persaingan dan pilihan pengguna.
Menurutnya, kawal selia industri seharusnya memberi keutamaan kepada ketelusan transaksi, perlindungan penumpang serta pengurusan aduan, bukannya mewujudkan penguasaan pasaran oleh pihak tertentu.
“Bagaimanapun, FOMCA berpandangan pemberian hak eksklusif penjualan tiket kepada terminal bas berlesen berpotensi mewujudkan amalan monopoli, mengurangkan persaingan serta mengehadkan pilihan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggariskan lima perkara yang perlu diberi perhatian kerajaan bagi memastikan perubahan sistem penjualan tiket oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak menjejaskan kepentingan penumpang.
Beliau berkata, pengguna perlu terus diberi kebebasan membandingkan tambang, promosi, jadual perjalanan dan perkhidmatan daripada pelbagai pengendali bas.
Ujarnya, persaingan harga membolehkan pengguna mendapatkan pilihan perkhidmatan yang bersesuaian, manakala sekatan terhadap platform tempahan berpotensi menghilangkan manfaat tersebut.
“Pelaksanaan sistem baharu tidak seharusnya menyebabkan peningkatan kos perjalanan, khususnya apabila caj komersial baharu bagi perkhidmatan platform digital ditetapkan kepada pengusaha bas dan bukannya penumpang secara langsung.
“Kawal selia industri tidak semestinya memerlukan pemberian hak eksklusif kepada terminal kerana perlindungan pengguna masih boleh dilaksanakan menerusi sistem pelesenan dan pemantauan yang membolehkan pelbagai platform bersaing secara adil,” jelasnya.
Saravanan menegaskan, pengguna juga perlu diberi maklumat jelas mengenai saluran pembelian tiket yang dibenarkan, kesahan tiket sedia ada, penggunaan kod QR ketika menaiki bas serta saluran bantuan sekiranya berdepan masalah.
Justeru beliau mahu mekanisme aduan dan pembayaran balik diperkukuh supaya penumpang tidak terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak tanpa penyelesaian jelas apabila berlaku gangguan perjalanan atau masalah transaksi.
“Pengguna tidak sepatutnya dihimpit antara pengendali bas, pengurusan terminal dan platform tempahan apabila berlaku masalah.
“Kerajaan juga perlu mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan pengusaha bas, penyedia platform dan persatuan pengguna, selain menilai pelaksanaan dasar secara berkala,” katanya.



