FORKOM satukan komuniti, selesaikan isu berbangkit

FORKOM satukan komuniti, selesaikan isu berbangkit

FORUM Komuniti (FORKOM) menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) berperanan sebagai platform yang membawa penduduk perumahan awam bersama, sekali gus memperkukuh semangat kekitaan dan mencari penyelesaian terhadap pelbagai cabaran di komuniti setempat.

Pengarah Program K2K, Dr Shahridan Faiez berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan infrastruktur sosial atau aset sosial yang mampu meningkatkan daya huni penduduk perumahan awam.

Menurutnya, K2K yang dilancarkan Perdana Menteri pada April 2023 memberi penekanan kepada usaha memperkasa komuniti supaya penduduk bukan sahaja mempunyai ruang untuk menyuarakan masalah, malah mampu memainkan peranan dalam mencari penyelesaian secara bersama.

“Dalam K2K, kita membuat pelaburan untuk membentuk empat jenis infrastruktur sosial iaitu platform sosial, ruang sosial baharu, penggerak komuniti dan jaringan sosial.

“FORKOM merupakan platform yang membawa semua lapisan masyarakat yang tinggal di sini bersama supaya suara mereka dapat didengar dan mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majllis Perasmian Projek Sosial Kolaboratif Media Komuniti Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Shahridan berkata, kewujudan FORKOM telah menyaksikan pelbagai program dan aktiviti positif dapat dilaksanakan oleh penduduk sendiri, selain membuka ruang kepada mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.

Shahridan

Shahridan

Katanya, dataran Perumahan Awam Seri Kota yang sebelum ini kurang dimanfaatkan kini menjadi antara contoh bagaimana ruang sosial baharu mampu menggalakkan penduduk berinteraksi, berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama.

“Dulu kawasan ini memerlukan banyak perhatian dan warga perumahan awam juga berdepan pelbagai kekangan. Tetapi selepas pembaikpulihan dataran, kita dapat lihat ramai orang datang, berinteraksi dan menjalankan aktiviti.

“Itulah contoh aset sosial yang kita mahu bina kerana ruang ­fizikal yang baik boleh menjadi pemangkin kepada hubungan sosial yang lebih kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, K2K turut memberi tumpuan kepada pembentukan penggerak komuniti dengan menyediakan latihan dan pembangunan kapasiti supaya penduduk mempunyai keyakinan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membangunkan kawasan mereka.

Menurutnya, jaringan sosial yang terbentuk menerusi FORKOM pula membolehkan komuniti menghubungkan diri dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan rakan strategik lain bagi membentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada penduduk.

“Apabila platform komuniti sudah mantap, mereka boleh menghubungkan diri dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan sinergi dan membentuk perkongsian baharu bagi mengukuhkan lagi daya huni penduduk,” katanya.

Shahridan berkata, hasil kerjasama antara Kementerian Perpaduan, Think City dan FORKOM Seri Kota turut membawa kepada penubuhan Conflict Mediation Centre (Pusat Mediasi Komuniti), yang merupakan pertama kali diwujudkan di perumahan awam.

Kanak-kanak bermain bola di Dataran Seri Kota.

Kanak-kanak bermain bola di Dataran Seri Kota.

Katanya, pusat berkenaan diwujudkan berdasarkan dapatan kajian K2K mengenai kewujudan konflik terpendam dalam komuniti perumahan awam yang sekiranya tidak ditangani boleh berkembang menjadi masalah lebih besar.

“Banyak konflik sebenarnya geseran kecil dan boleh diselesaikan sekiranya ditangani dengan cepat. Sebab itu kita mahu mendekatkan mekanisme penyelesaian konflik kepada penduduk, bukannya bergantung kepada perkhidmatan yang terlalu jauh daripada mereka.

“Ini merupakan satu contoh bagaimana kerajaan, Think City dan FORKOM boleh turun ke padang dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang positif serta konkrit,” katanya.

Beliau berkata, PA Seri Kota dipilih sebagai lokasi pertama kerana ia merupakan antara 10 perumahan awam di bawah K2K dan mempunyai perkembangan positif sejak program itu dilaksanakan.

“Dengan adanya FORKOM, keadaan semakin baik dan kita juga melihat kerjasama positif antara kita dengan badan pengurusan komuniti,” katanya.

Shahridan berkata, matlamat lebih besar K2K adalah untuk meningkatkan daya huni perumahan awam kerana perumahan awam sepatutnya menjadi platform kepada mobiliti sosial, khususnya bagi golongan rentan bandar dan B40.

Tambah beliau, pendekatan K2K juga telah menghasilkan pelbagai pencapaian lain termasuk program tuisyen yang digerakkan komuniti, apabila lima pelajar berjaya memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan selepas mendapat sokongan daripada tenaga pengajar dalam kalangan penduduk PPR.

12 lagi Pusat Mediasi Komuniti ditambah

Sementara itu, Aaron berkata, inisiatif Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti anjuran kementeriannya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Think City dan FORKOM bertepatan dengan usaha untuk memperkukuh keharmonian masyarakat melalui pendekatan penyelesaian konflik yang lebih inklusif, berasaskan komuniti dan mengutamakan jalan damai.

Menurut beliau, bagi tempoh tahun 2023 hingga 2026, sebanyak 521 kes berkaitan komuniti dan kejiranan telah berjaya diselesaikan melalui mediasi tanpa melibatkan proses mahkamah.

Ketika ini juga katanya, sebanyak 10 Pusat Mediasi Komuniti di seluruh negara diwujudkan.

Suasana di Perumahan Awam Seri Kota.

Suasana di Perumahan Awam Seri Kota.

“Kerajaan akan terus memperkukuh jaringan Pusat Mediasi Komuniti dengan penambahan 12 pusat pada tahun ini di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara. Antaranya Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Lumpur; Pontian, Johor; Bukit Payung, Terengganu; Shah Alam, Selangor.

“Selain itu, Permatang Badak, Kuantan, Pahang; Kulim, Kedah; Machang, Kelantan; Labuan, Miri, Sarawak; Jasin, Melaka dan Kamunting, Perak,” ujarnya.

Beliau menambah, pusat berkenaan menjadi rujukan masyarakat dalam mendapatkan maklumat, khidmat nasihat awal serta saluran penyelesaian bagi isu dan pertikaian komuniti yang bersesuaian.

No Image Caption

“Saya menetap di sini lebih 30 tahun lalu dan Alhamdulillah perubahan yang berlaku di bawah program K2K sekarang merupakan perkara yang dinantikan oleh kami penghuni di sini.”- Penghuni Perumahan Awam Seri Kota, Zuriah Zakaria, 57.

No Image Caption

”Inisiatif yang diperkenalkan ini merupakan peluang yang dinanti oleh penghuni kawasan perumahan berkepadatan tinggi tersebut.” – Penghuni Perumahan Awam Seri Kota, Shafika Azlee, 35.

Scroll to Top