Arab Saudi tidak patut berunding dengan Houthi

Arab Saudi tidak patut berunding dengan Houthi

RIYADH: Arab Saudi tidak seharusnya mengharapkan rundingan politik dengan kumpulan militia Houthi di Yaman mampu menghasilkan penyelesaian kerana usaha dialog sebelum ini gagal mengubah tindakan kumpulan itu, menurut Pengerusi Pusat Penyelidikan Teluk, Dr. Abdulaziz Sager.

Ketika muncul dalam program Arab Views terbitan Arab News di Riyadh, Sager berkata, dua serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada 10 dan 11 Oktober memberi isyarat jelas bahawa rundingan lanjut berkemungkinan tidak akan membuahkan hasil.

Tawaran Iran untuk menjadi orang tengah antara Arab Saudi dan Houthi dilihat luar biasa. tetapi Sager berkata, Arab Saudi tidak sepatutnya menerima tawaran daripada negara yang dianggapnya bertanggungjawab mengekalkan ancaman berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Iran ialah punca masalah. Bagaimana saya boleh menerima pengantaraan mereka? Apa yang kami perlukan dari Iran ialah supaya tidak campur tangan di Yaman dan tidak mencampuri urusan negara Arab,” katanya dalam temu bual itu yang kemudian kenyataan beliau disiarkan Arab News kelmarin..

Beliau berhujah bahawa penglibatan Teheran dalam hal ehwal serantau bukan sahaja melibatkan Yaman, malah merangkumi keselamatan maritim dan tenaga, sokongan terhadap kumpulan bersenjata serta dasar peluasan pengaruh yang didakwanya diamalkan Iran.

“Jadi, saya tidak fikir kami memerlukan pengantaraan mereka. Kami boleh berurusan secara langsung dengan rakyat Yaman. Kami mempunyai akses terus kepada mereka dan lebih memahami mereka,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mahu Riyadh menghentikan so­kongan terhadap kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan membayar caj yang tidak sepatutnya ditanggungnya.

“Mereka mahu kami menghentikan sokongan terhadap satu-satunya kerajaan sah yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka mahu kami membayar caj yang tidak sepatutnya kami bayar,” katanya.

Bagi Sager, tindakan menarik diri daripada konflik berisiko mengiktiraf tindakan Houthi sebagai sah dan memperdalam perpecahan di Yaman.

“Menarik diri daripada konflik, saya fikir itu tindakan yang salah. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan dasar sedemikian kerana tindakan itu akan menghalalkan apa yang mereka lakukan. Ia akan mendorong perpecahan negara itu dan mewujudkan satu lagi keadaan seperti Somalia,” katanya.

Riyadh mengetuai pakatan antarabangsa yang menyokong kerajaan Yaman dari segi ketenteraan sejak 2015 bagi menyingkirkan Houthi yang menguasai sebahagian kawasan di negara itu. 

Arab Saudi juga mengawal ruang udara negara bergolak itu dan lapangan terbang di ibu negara Sanaa yang dikuasai Houthi. – AGENSI

 

Scroll to Top