FPP lindungi kerosakan perabot

FPP lindungi kerosakan perabot

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

kartika@mediaprima.com.my

POLICYsTREET, syarikat insurtech terkemuka dari Malaysia dengan kerjasama Ashley Furniture HomeStore memperkenalkan Pelan Perlindungan Perabot (FPP) untuk melindungi kerosakan akibat kemalangan, kebakaran dan banjir.

Portal tuntutan digital yang mesra pengguna ini dijangka dilancarkan pada pertengahan Mei bagi memudahkan lagi proses insurans perabot.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, perlindungan untuk kerosakan tidak sengaja bukan saja jaminan untuk pengguna, tapi juga pemangkin keyakinan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

“Kami sudah melihat bagaimana perlindungan menyeluruh dengan proses tuntutan yang lancar boleh memberi nilai sebenar kepada pengguna.

“Kerana itu, kami bawa pendekatan sama dalam perlindungan perabot melalui kerjasama dengan Ashley Furniture HomeStore supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh melindungi pelaburan perabot mereka dengan mudah, sama ada dibeli dalam talian atau terus dari kedai,” katanya.

FPP adalah pelan mikroinsurans menyeluruh yang melindungi kos pembaikan atau penggantian perabot yang rosak akibat kemalangan, kebakaran atau banjir dengan perlindungan sehingga setahun.

Ditawarkan secara eksklusif di semua Ashley Furniture HomeStore seluruh Malaysia, FPP bermula serendah RM99 setahun.

Ia turut merangkumi pemeriksaan jaminan percuma, pemeriksaan awal sebelum tuntutan dan baucar penghantaran yang memberi nilai hebat dan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

Untuk membuat tuntutan, pelanggan hanya perlu menghubungi Ashley Furniture HomeStore untuk penilaian secara bersemuka.

Jika layak, tuntutan boleh dihantar menerusi portal digital yang bakal dilancarkan pada 14 Mei 2025 yang mana proses lebih pantas untuk baik pulih atau ganti perabot.

Selain itu, gabungan antara keberkesanan digital dan sentuhan perkhidmatan peribadi ini menghapuskan keperluan dokumen rumit dan mengelakkan kelewatan yang tidak diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top