Fraile tabik kesungguhan Pahang Rangers

Fraile tabik kesungguhan Pahang Rangers

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Jurulatih Pahang Rangers FC, Eloy Alonso Fraile memuji kesungguhan barisan pemain yang bangkit membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada masa tambahan di separuh akhir kedua Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dekat Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, kelmarin.

Istilah tidak putus asa yang ada dalam diri setiap pemain membolehkan mereka bangkit menjinakkan lawan yang berada di hadapan dengan jaringan 3-2 pada masa sebenar.

“Secara keseluruhan saya memuji dan mengucapkan terima kasih pada barisan pemain Pahang Rangers yang tampil begitu garang sepanjang perlawanan dengan membawa misi melangkah ke pentas final pada 31 Oktober ini.

“Janji pemain untuk melakukan kejutan pada perlawanan kedua separuh akhir berjaya ditunaikan, kebimbangan berhadapan lawan di gelanggang mereka berjaya dipadam dengan sempurna. Tekanan sepanjang perlawanan berjaya ditepis pemain,” katanya, di sini hari ini

Fraile berkata, tumpuan Pahang Rangers selepas ini menghadapi perlawanan akhir berhadapan Selangor FC.

Perlawanan akhir diadakan secara timbal balik dengan aksi pertama di Stadium Tertutup SUKPA pada 24 Oktober kemudian perlawanan kedua di gelanggang lawan 31 Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top