Dubai: Arab Saudi melaburkan sejumlah besar wang untuk persenjataan canggih, namun serangan maut baru-baru ini terutama di lapangan terbang antarabangsa Riyadh mendedahkan kelemahan dalam keupayaannya untuk menangkis serangan berterusan daripada kumpulan Houthi.
Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dalam serangan pada Sabtu di lapangan terbang Riyadh yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh lebih sedekad, manakala seorang warga Pakistan disahkan meninggal dunia dalam serangan di lapangan terbang sama kelmarin. Lebih 300 mangsa pula dilaporkan cedera.
Serangan peluru berpandu dan dron yang berulang kali itu turut menjejaskan reputasi kerajaan kaya minyak berkenaan sebagai sebuah negara yang stabil.
Penganalisis dari firma penilaian risiko MENA Analytica yang berpangkalan di London, Andreas Krieg berkata, walaupun sistem pertahanan berlapis yang menggabungkan Patriot, THAAD, pesawat pejuang dan sensor lain digunakan, ia tidak mampu melindungi seluruh Arab Saudi yang berkeluasan kira-kira 2.2 juta kilometer (km) persegi.
Menurutnya, negara itu perlu mempertahankan Riyadh, lapangan terbang, kemudahan minyak, pangkalan tentera, kota suci dan pelbagai infrastruktur kritikal secara berterusan.
“Lapangan terbang Riyadh amat penting kepada Wawasan Saudi 2030 yang diterajui Putera Mahkota, Mohammed bin Salman untuk menjadikan bandar itu hab utama pelancong, syarikat multinasional dan acara antarabangsa, manakala serangan berulang boleh menimbulkan kos ekonomi serta psikologi yang melebihi kerosakan fizikal,” katanya.
Serangan berulang kumpulan Houthi turut membebankan sistem pertahanan udara Arab Saudi dan berkemungkinan mengurangkan stok peluru pemintasnya, yang menurut laporan mengalami kekurangan bekalan di seluruh dunia.
Walaupun Arab Saudi berjaya memintas banyak serangan, beberapa serangan yang menyasarkan kemudahan minyak dan lapangan terbang Riyadh berjaya melepasi pertahanan itu.
Arab Saudi mempunyai kapasiti industri ketenteraan yang terhad dan bergantung pada import persenjataan canggih, termasuk daripada pengeluar Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis, selain kehadiran anggota, kontraktor serta jurulatih asing untuk menambah keupayaan pertahanannya.
Sementara itu, penganalisis keselamatan dari Universiti Ottawa, Thomas Juneau berkata, Houthi tidak perlu menembusi sistem pertahanan Arab Saudi setiap kali untuk mencapai matlamat mereka, sebaliknya serangan yang sesekali berjaya sudah memadai.
Beliau berkata, serangan berulang kali ke atas lapangan terbang Riyadh menunjukkan Houthi masih mempunyai keupayaan melancarkan serangan susulan pada jarak strategik, juga sebagai balasan terhadap tindakan Arab Saudi yang menyerang lapangan terbang Sanaa yang berada di bawah kawalan Houthi.
“Dengan menyasarkan infrastruktur kritikal Arab Saudi, mesej yang ingin disampaikan oleh Houthi ialah ‘kos untuk mencapai keamanan semakin meningkat’.
“Bagi Arab Saudi pula, ini satu bencana besar kerana negara itu telah berusaha untuk keluar daripada kancah peperangan di Yaman sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Peningkatan serangan itu berlaku ketika perang saudara Yaman yang berlarutan kembali memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan gabungan pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa menentang Houthi.
Serangan lapangan terbang pada Sabtu adalah yang paling dahsyat di Arab Saudi sejak serangan bom bunuh diri pada 2015.
Ia berlaku sehari sebelum bermulanya musim konvensyen dan hiburan berprofil tinggi negara berkenaan, dengan Kongres Tenaga WPC membuka tirainya di Riyadh pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




