Frank lega, Spurs buang sumpahan laman sendiri

Frank lega, Spurs buang sumpahan laman sendiri

London: Tottenham Hotspur akhirnya berada ‘di landasan sama’ apabila mempamerkan aksi lebih meyakinkan di laman sendiri untuk menumpaskan Brentford 2-0, sekali gus menamatkan deretan keputusan hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Pertemuan itu juga menjadi episod pertama Thomas Frank berdepan bekas kelabnya sejak berpindah ke Tottenham pada musim panas lalu, dengan tekanan jelas memuncak selepas kekalahan di tangan Fulham minggu lalu yang turut menyaksikan Frank mengkritik penyokong sendiri.

Namun segala kekusutan itu dileraikan menerusi persembahan mengagumkan pembelian baharu, Xavi Simons, yang mencipta gol pembukaan buat Richarlison sebelum meledak gol solo yang mengesahkan tiga mata.

Kemenangan itu hanya kemenangan kedua Spurs di laman sendiri musim ini, yang pertama sejak menewaskan Burnley pada Ogos dan secara keseluruhan hanya kemenangan keempat mereka di rumah sendiri untuk tahun 2025.

“Kadang-kadang kita bekerja keras, dan tiba-tiba semuanya serasi. Sebelum ini, pasukan sedikit tidak sebulu pada beberapa ketika,” kata Frank.

“Hari ini, lebih ramai pemain berada pada frekuensi sama sepanjang 90 minit. Kami sangat berbahaya ketika menyerang, cipta banyak peluang, bermain dengan tempo, kepantasan, penuh penembusan dan sukar dijangka. Itu identiti yang kami mahu kekalkan.”

Simons, penyerang antarabangsa Belanda yang dibawa masuk dari RB Leipzig, sebelum ini bergelut menempatkan diri hingga sering memanaskan bangku simpanan.

Tetapi gol pertamanya untuk kelab, hasil larian solo selepas memenangi perebutan bola, menjadi detik yang akhirnya menceriakan perjalanan kariernya di London Utara.

“Setiap pemain perlukan tambahan keyakinan. Datang daripada aksi individu dan prestasi pasukan. Bantuan gol dan jaringan itu memberi ‘ringan langkah’ pada dirinya,” ujar Frank.

Selepas kekecewaan besar menentang Fulham, Spurs bangkit dengan keputusan 2-2 di Newcastle pada Selasa, sebelum menampilkan aksi dominan ke atas Brentford.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top