Riyadh: Tyson Fury menegaskan bahawa tidak akan ada rasa kasihan menjelang pertarungan semulanya dengan Oleksandr Usyk, kerana kedua-dua petinju itu kelihatan serius pada sidang media menjelang perlawanan mereka.
Usyk menewaskan Fury menerusi keputusan juri di Arab Saudi pada Mei lalu untuk menjadi juara dunia dengan empat tali pinggang, dan kedua-dua mereka akan bertemu sekali lagi di tempat yang sama, Arena Kingdom, pada esok ini di Riyadh dengan gelaran WBC, WBO dan WBA akan dipertaruhkan.
Dalam sidang media, kedua-dua petinju memberi kenyataan pembukaan ringkas sebelum terbabit dalam pertembungan mata yang tegang dan berpanjangan selama lebih 11 minit.
Mereka akhirnya terpaksa dileraikan oleh pasukan masing-masing selepas keadaan semakin menjadi panas dan berbalas kata-kata.
Fury, yang terkenal dengan sikap suka bercakap dalam sukan yang sering dipenuhi dengan permainan kata-kata, kelihatan lebih banyak diam dalam sidang akhbar itu dan berkata dia memberi fokus sepenuhnya untuk membalas dendam.
“Saya akan buat dia sangat sakit.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan kecuali ada banyak kesakitan dan penderitaan dalam perlawanan itu nanti, anda saksikan. Itu sahaja yang saya nak katakan.
“Saya akan bercakap bila dah selesai. Perlawanan pertama saya bercakap, saya bergurau – sepanjang kerjaya saya, kali ini, saya serius.
“Saya akan buat merasa sakit yang serius. Saksikan saya. Tak sabar untuk malam Sabtu. Terima kasih kepada semua yang terbabit. Semoga Tuhan memberkati.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




