Gaduh di Bekenu, polis tahan 5 lelaki

Gaduh di Bekenu, polis tahan 5 lelaki

am@hmetro.com.my

Miri: Polis tahan lima individu termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular di media sosial di kawasan Bekenu, di sini.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kelima lelaki berkenaan ditahan hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, pihaknya turut merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam perbuatan ganas atau membawa senjata berbahaya di tempat awam.

Menurutnya, orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mengawal emosi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau kekecohan.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Anuar Affindi di talian 019-7319540 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Katanya, PDRM turut merakamkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top