Gagah lawan sakit, Michelle raih podium di Taiping

KECEDERAAN buku lali yang dialami seminggu sebelum perlumbaan tidak menghalang Michelle Ng Qian Ying mencipta kejutan apabila muncul naib juara wanita MY50 pada Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 di Taiping pada Sabtu.

Michelle menamatkan cabaran sejauh 54.1 kilometer (km) dalam masa tujuh jam 29 minit 38 saat (s) untuk muncul pelari wanita Malaysia terbaik, selain meraih podium pertamanya dalam UTMB World Series di luar kategori umur.

Pelari China, Wang Dayu muncul juara dengan catatan 6:23:53s, manakala Li Sham Ming dari Hong Kong di tempat ketiga selepas mencatat 7:33:56s.

“Saya memang tidak menjangkakannya kerana saingan kali ini bertaraf antarabangsa. Saya sangat gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Kecederaan berkenaan menyebabkan Michelle lebih berhati-hati ketika menuruni bukit, namun beliau cuba mengambil peluang di laluan rata untuk mengekalkan momentum sehingga ke penghujung perlumbaan.

“Saya tidak mahu terikut-ikut mengejar pelari di hadapan. Bagi saya, larian denai adalah persaingan dengan diri sendiri dan saya perlu mengikut rentak yang mampu dipertahankan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan tenaga tidak habis terlalu awal, sekali gus mengurangkan risiko dipintas pelari lain pada penghujung perlumbaan.

Lebih bermakna, kejayaan tersebut hadir di lokasi yang menjadi titik mula pembabitan Michelle dalam larian denai tiga tahun lalu ketika acara berkenaan masih dikenali sebagai Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF).

Bermula dengan aktiviti mendaki bersama rakan sebelum menyertai perlumbaan pada 2023, Michelle kemudian meningkatkan penyertaan dalam acara denai sehingga mampu membina prestasi secara berperingkat.

Dia ketika ini berlatih lima hingga enam kali seminggu di samping bekerja dalam bidang pemasaran pelanggan sektor barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), dengan hujung minggu banyak dihabiskan di denai.

“Saya banyak mengorbankan masa lapang untuk mencapai sasaran latihan mingguan. Sabtu dan Ahad agak sukar untuk ajak saya keluar makan kerana saya biasanya berada di hutan untuk berlatih,” katanya yang mengakui bekerja keras sejak beberapa bulan lalu bagi menghadapi perlumbaan di Taiping.

Dalam saingan lelaki MY50, Wu Erqing dari China menebus kekecewaan tempat ketiga tahun lalu apabila muncul juara dengan catatan 5:03:47s, diikuti Zhang Sheng (5:16:13s) dan Koyo Ogasawara dari Jepun (6:00:55s), manakala Daniel Yap Chun Mun menjadi pelari Malaysia terbaik di tempat kelima (6:13:21s).

Yutaro Yokouchi dari Jepun menjuarai MY100 lelaki dengan masa 12:18:44s, sementara Bir Bahadur Rai dari India mengungguli MY25 lelaki (2:25:01s), diikuti Osama Alif (2:29:39s) dan Daaraneshwaran Siva Kumar (2:32:16s), dengan kedua-duanya pelari Malaysia.

Dalam MY25 wanita, Yu Ho Ting dari Hong Kong muncul juara (3:24:56s), manakala Eryn Tan menjadi pelari Malaysia terbaik di tempat kedua (3:31:59s), diikuti Delia Gemma Edo Rambla dari Sepanyol (3:34:30s) dengan edisi tahun ini menarik lebih 3,000 peserta dari 63 negara termasuk lebih 1,000 pelari antarabangsa.

Scroll to Top