Gangguan bekalan kuasa, 6 stesen MRT laluan Putrajaya ditutup sementara

Gangguan bekalan kuasa, 6 stesen MRT laluan Putrajaya ditutup sementara

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam stesen perkhidmatan MRT laluan Putrajaya ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih susulan gangguan bekalan kuasa yang berlaku jam 5.54 pagi hari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, stesen yang terbabit ialah Stesen Taman Equine; Stesen Putra Permai; Stesen 16 Sierra; Stesen Cyberjaya Utara; Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral.

“Gangguan itu menjejaskan beberapa kemudahan utama di stesen terbabit termasuk lampu, lif, eskalator, pintu masuk dan pam tandas.

“Stesen lain di laluan Putrajaya beroperasi seperti biasa manakala bagi stesen yang ditutup sementara, perkhidmatan bas perantara tanpa henti dan ulang-alik percuma disediakan membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing seperti tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen UPM.

“Selain itu, bas perantara tanpa henti disedikan di antara Stesen UPM dan Stesen Putrajaya Sentral; bas perantara ulang-alik di antara Stesen UPM dan Stesen Putrajaya Sentral,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kekerapan bas adalah setiap 15-20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

“Penumpang yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA/KLIA2) melalui Stesen Putrajaya Sentral dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan disarankan menggunakan pengangkutan alternatif bagi mengelakkan kelewatan.

“Sekiranya memerlukan bantuan, penumpang boleh menghubungi petugas stesen atau polis bantuan yang bertugas,” katanya.

Katanya, Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran penumpang.

“Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mengikuti perkembangan terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi PULSE,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top