Gangguan semboyan, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya alami kelewatan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jadual perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya mengalami kelewatan susulan gangguan pada sistem semboyan yang dikesan pada 4.35 petang tadi.

Rapid KL dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, pihak operasi sudah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.

Katanya, tren alternatif membabitkan dari Stesen Kentonmen akan berpatah balik di Stesen Raja Uda, dari Stesen Raja Uda akan berpatah balik dari Stesen Chan Sow Lin, dan tren perantara di antara Stesen Chan Sow Lin ke Stesen Putrajaya Sentral dengan jangkaan kekerapan lima minit.

“Bagi bas perantara percuma di antara Stesen Kwasa Damansara, Stesen Kampung Selamat, Stesen Sungai Buloh, Stesen Damansara Damai, Stesen Sri Damansara Barat, Stesen Sri Damansara Sentral, Stesen Sri Damansara Timur, Stesen Metro Prima dan Stesen Kepong Baru.

“Jangkaan kekerapannya 15-20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pasukan teknikal kini sedang menjalankan kerja baik pulih bagi memulihkan bekalan kuasa dan mengembalikan operasi perkhidmatan kepada keadaan normal secepat mungkin.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di stesen yang terjejas untuk memberikan bantuan dan panduan.

“Penumpang yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada pegawai stesen atau anggota polis bantuan yang bertugas,” katanya.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top