mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Nepal setakat hari ini bagi misi kemanusiaan susulan bencana di negara itu, Rabu lalu.
Komander SMART, Abdul Manaf Che Isa berkata, seperti mana kenyataan Perdana Menteri berkaitan kesediaan menghantar pasukan SMART ke Nepal, ia masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan Nepal.
Menurutnya, misi itu juga bergantung kepada keperluan negara Nepal sama ada fokus kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) atau Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
“Setakat hari ini tumpuan SAR diberi keutamaan kepada tunnel rescue yang giat dilaksana oleh beberapa pasukan dari China, India dan Korea.
“Pasukan SMART bersedia dari segi fizikal dan mental serta bersedia untuk sebarang penugasan bagi misi ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Beliau berkata, persediaan logistik iaitu penggunaan peralatan khusus, komunikasi dan kesihatan juga sudah bersiap siaga.
“Kerajaan Nepal tidak membuat ketetapan jumlah keanggotaan diperlukan apapun kami bersedia untuk di atur gerak mengikut apa-apa kategori medium atau light atau secara skelaton,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
