am@hmetro.com.my
Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas guni mengandungi 23 kilogram (kg) ganja bernilai lebih RM690,000 di kawasan tembok keselamatan sempadan, di sini, hari ini.
Barang larangan itu ditemui pasukan pegawai dan anggota Kompeni C, Batalion 18 PGA, Pengkalan Hulu
yang menjalankan pemantauan menerusi operasi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis, kira-kira 5 pagi.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, guni ditemui berhampiran tembok keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.
“Rampasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang menjadikan kawasan Padang Besar sebagai laluan utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan individu atau sindiket yang terbabit.
“Briged Utara PGA akan terus mempertingkat kawalan sempadan serta tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah,” katanya yang menyeru masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalur maklumat berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd