am@hmetro.com.my
Kangar: Penggantungan keahlian Abu Bakar Hamzah daripada BERSATU adalah urusan dalaman parti itu dan tidak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Menteri Besar Perlis.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, pelantikan dan pengguguran jawatan Menteri Besar tertakluk kepada kuasa termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, bukannya ditentukan secara mutlak oleh keputusan parti politik.
Katanya, jawatan Menteri Besar adalah jawatan lantikan oleh Raja Perlis yang berasaskan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Menteri Besar hanya boleh digugurkan menerusi beberapa cara, antaranya undi tidak percaya di dalam DUN sekiranya hilang sokongan majoriti dan mendapat perkenan Raja Perlis.
“Selagi beliau memegang sokongan majoriti, kedudukannya sebagai Menteri Besar kekal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagi mengabsahkan sebarang peralihan sokongan, Hamdan berkata, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu mengemukakan undi tidak percaya dinasihati menggunakan kaedah menghadap Raja Perlis bagi membuktikan Menteri Besar sudah hilang majoriti.
Beliau berkata, kumpulan yang terdiri daripada enam atau lebih ADUN boleh mengadap baginda di luar persidangan DUN untuk menzahirkan penarikan sokongan tersebut memandangkan kaedah pembuktian di luar Dewan adalah sah.
Katanya, ia bersandarkan kes duluan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung krisis politik pentadbiran kerajaan negeri Perak pada 2009.
“Sebarang usul undi tidak percaya atau penarikan sokongan tidak semestinya perlu dilakukan secara mutlak di dalam persidangan DUN semata-mata, sebaliknya ia juga boleh diputuskan di luar Dewan.
“Sekiranya kumpulan pembangkang atau ADUN yang tidak berpuas hati mahu menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, mereka boleh menghimpunkan enam atau lebih ADUN untuk mengadap Raja Perlis. Bagaimanapun, mereka mesti memastikan jumlah itu mampu menarik ahli lain untuk membentuk sokongan melebihi majoriti mudah iaitu tujuh kerusi,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi DUN Perlis ketika ini yang membabitkan 11 wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) merangkumi enam daripada PAS, BERSATU (lima), dan seorang wakil PKR, Hamdan berkata, percubaan menukar pentadbiran hanya berlaku jika wujud perubahan rasmi.
“Kalau dilihat senario semasa, kedudukan Abu Bakar masih stabil kerana tidak ada pergerakan atau peralihan sokongan rasmi yang berlaku, khususnya daripada kem PAS mahupun ADUN lain.
“Proses untuk menukar kepimpinan bukan satu langkah mudah kerana ia turut melibatkan kebergantungan wakil rakyat terhadap kestabilan politik negeri, kewangan, dan komitmen terhadap pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Abu Bakar yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kangar digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti, sekali gus dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegangnya.
Dalam pada itu, Hamdan turut menasihati kepimpinan kerajaan negeri terus memberi fokus menjaga kebajikan rakyat berbanding melayan kemelut politik memandangkan penggal Dewan masih berbaki kira-kira setahun sebelum berakhir pada penghujung 2027.
“Oleh itu, adalah lebih baik semua ADUN sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang menumpukan usaha membangunkan Perlis dan merancakkan ekonomi negeri berbanding terus berbalah mengenai isu perebutan kuasa dan kedudukan,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mahu Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN berakhir.
Ketika merasmikan Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15, baginda turut mengingatkan semua ADUN bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan pilihan baginda, selain bertitah kestabilan politik adalah kriteria penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




