Indonesia peruntukkan RM277.62 juta padam kebakaran hutan

Indonesia peruntukkan RM277.62 juta padam kebakaran hutan

Jakarta: Indonesia telah menyalurkan peruntukan tranche kedua sebanyak 1.235 trilion rupiah (kira-kira RM277.62 juta) dalam bentuk bantuan kerajaan pusat bagi memadam kebakaran hutan dan tanah, dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk penduduk yang terjejas, kata seorang menteri kanan pada Khamis, lapor Xinhua.

Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Sugiono berkata dana berkenaan akan digunakan untuk mengedarkan pelitup muka serta bekalan oksigen mudah alih, mendirikan kemudahan pemulihan dan merawat individu yang menderita jangkitan saluran pernafasan akut.

Bantuan itu juga akan membiayai peralatan memadam kebakaran, termasuk peralatan perlindungan, pam air, hos dan penyuntik air tanah gambut, serta penempatan anggota dan sokongan logistik, kata Sugiono.

Beliau berkata Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan pihak berkuasa untuk mempercepatkan dan menyelaraskan tindak balas mereka terhadap kebakaran berkenaan.

Kira-kira 71,000 anggota telah ditempatkan bagi memadamkan kebakaran, disokong oleh operasi pemadaman udara dan pengubahsuaian cuaca menggunakan ais kering, katanya.

Kebakaran hutan dan tanah, yang sering dikaitkan dengan pembersihan tanah dan diburukkan lagi oleh cuaca panas serta kering, telah menyebabkan jerebu merebak di sebahagian wilayah Indonesia dan negara-negara jiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top