Gara-gara Strava, lokasi kapal perang bocor

Gara-gara Strava, lokasi kapal perang bocor

Paris: Seorang anggota tentera laut Perancis tidak sengaja mendedahkan kedudukan tepat kapal induk utama negaranya selepas menggunakan aplikasi penjejakan kecergasan semasa berjoging.

Kapal induk Charles de Gaulle bersama kapal frigat pengiring dihantar ke Mediterranean awal Mac, selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran mencetuskan perang di Timur Tengah.

Kapal itu berada di timur Mediterranean sejak 9 Mac sebagai sebahagian daripada pendirian ‘semata-mata defensif’ bagi menyokong sekutu Perancis dalam konflik itu, menurut Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Akhbar Le Monde melaporkan, pelari itu berjoging dalam bulatan di atas kapal yang bergerak pada 13 Mac di tengah laut di barat laut Cyprus, berdasarkan profil awamnya di aplikasi Strava.

Susulan itu, imej satelit menunjukkan kapal induk itu berada berhampiran pada masa pelari berkenaan berjoging.

Data Strava juga menunjukkan, orang yang sama berjoging di Copenhagen, Denmark, pada akhir Februari, merentasi jambatan dari Malmo, Sweden, di mana Charles de Gaulle berlabuh pada masa itu.

Dalam pada itu, angkatan bersenjata Perancis berkata, langkah sewajarnya akan diambil jika laporan itu benar, kerana anggota tentera laut sentiasa diingatkan tentang risiko kebocoran maklumat melalui aplikasi sedemikian.

“Kes yang dilaporkan, jika disahkan, tidak mematuhi arahan semasa,” katanya.

Difahamkan, profil aplikasi berjoging sebelum ini pernah mendedahkan maklumat sensitif.

Pada 2024, Le Monde melaporkan bahawa pengawal peribadi beberapa pemimpin dunia, termasuk Macron, Presiden AS ketika itu Joe Biden dan pemimpin Rusia, Vladimir Putin, secara tidak sengaja mendedahkan lokasi pemimpin masing-masing ketika mengiringi mereka.

Pada 2018, peta Strava menunjukkan, lokasi anggota tentera AS dan sekutunya di Iraq, Syria dan Afghanistan.

Selain mendedahkan pangkalan yang diketahui musuh, peta itu turut menunjukkan laluan pasukan di luar pangkalan.

Maklumat ini boleh digunakan untuk merancang serangan bom atau rompakan, meningkatkan risiko keselamatan bagi anggota tentera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top