Garis panduan baru pesawat tanpa pemandu

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melancarkan tiga garis panduan (CAD) baharu pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai dron (UAS), berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Menurut Kementerian Pengangkutan, CAD itu dikeluarkan untuk menampung peningkatan operasi UAS yang melibatkan pelbagai bidang.

Ketiga-tiga CAD ini dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo Chee Soon berdasarkan Seksyen 24o Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

“Dalam usaha ini, CAAM telah menetapkan standard, keperluan dan prosedur kepada individu dan pengendali di Malaysia untuk bidang pertanian; organisasi latihan; penyelidikan dan pembangunan; operasi secara Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), dan operasi-operasi lain yang berkaitan,” kata Kementerian Pengangkutan menerusi kenyataan.

Tiga garis CAD berkenaan adalah Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) dalam kategori bahagian satu, Operasi Pertanian UAS (AGR) bahagian kedua dan ketiga Projek UAS Khas (SUP).

CAD 6011 Bahagian (I) menetapkan keperluan, proses pentadbiran, arahan dan panduan berkaitan dengan operasi RPTO di Malaysia.

“Bertujuan membantu sesebuah organisasi dalam memastikan mereka dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan CAAM dan menjelaskan pengaturan, petunjuk dan perihal undang-undang yang berkaitan serta memberikan panduan kepada organisasi untuk memastikan kepatuhan yang berterusan.

“CAD ini digunapakai untuk semua RPTO yang ingin menjadi Organisasi Latihan yang diluluskan oleh CAAM,” jelas Kementerian itu.

CAD 6011 Bahagian (II) pula mengandungi standard, keperluan dan prosedur terhadap individu dan pengendali di Malaysia untuk memohon kelulusan operasi pertanian menggunakan UAS bagi tujuan komersial dan swasta.

Manakala, CAD 6011 Bahagian (V) untuk memudahkan pelabur, pembuat dan pengendali dron tempatan (entiti kerajaan dan swasta) untuk melabur, berinovasi dalam aktiviti R&D dan beroperasi secara BVLOS serta operasi-operasi lain yang memerlukan aktiviti sokongan tambahan daripada CAAM.

Sumber -MalaysiaGazette

Malay News
Technology Desk