Kau orang makan apa atas bot? Okay ke? Macam mana mandi, buang air? Ada tempat tidur tak?”
Inilah soalan-soalan yang kerap ditanya kepada kami, lebih-lebih lagi selepas kami mula belayar.
Izinkan saya memberi maklum balas kepada semua soalan itu bersama sedikit mesej yang mudah, namun mungkin ramai yang kurang memahaminya.
Apabila menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi peserta misi Sumud Nusantara (SN) yang bernaung di bawah panji-panji Global Sumud Flotilla (GSF), kami sudah bersedia berdepan pelbagai situasi.
Ia termasuk keadaan tidak selesa di darat dan di laut serta risiko dan bahaya yang menanti.
Namun, kami tidaklah dibiarkan berdepan segala kemungkinan dan risiko itu secara semberono, sebaliknya diberikan latihan secara teori dan praktikal.
Berbanding pasukan SN yang berlayar dari Sepanyol, saya yang ditempatkan di Itali bersama 13 rakan lain dari Malaysia ada masa selama 12 hari untuk menjalani sesi latihan.
Malah, sesi latihan turut bersambung di atas bot. Setiap hari kami perlu melakukan latihan simulasi jika berlaku kecemasan termasuk apabila bot kami didatangi tentera Israel.
Insya-Allah, ilmu yang dikutip dalam setiap sesi latihan membuatkan kami cukup bersedia untuk menaikkan layar dan meredah laut Mediteranean menuju ke Gaza.
Berbalik kepada soalan berkaitan ketidakselesaan kami sepanjang berada di atas bot, jawapannya – sentiasa ingat Palestin.
Memang di atas bot, juadah harian kami sekadar apa yang ada dan bukan mengikut selera kita. Tapi ingat, saudara kita di Gaza sudah tiada makanan dan ramai yang mati kebuluran.
Di atas bot, memang kami tak mandi seperti di rumah. Kena jimat guna air bersih dan lebih banyak guna air laut.
Tapi ingat, saudara kita di Gaza lebih teruk keadaannya. Kena beratur panjang selama berhari-hari hari untuk mendapat satu bekas kecil air bersih.
Tempat tidur kami di atas bot, bergantung kepada saiz bot dan jumlah peserta di atasnya. Ada yang dapat tidur dalam kabin, atas sofa atau sekadar dalam sleeping bag di atas dek.
Tapi ingat, saudara kita di Gaza, bukan saja sudah tiada tempat tidur, malah mereka tak boleh nak tidur kerana hujan peluru dan ledakan bom berterusan hampir 24 jam sehari.
Jadi, muhasabah itu penting. Sebab itu penyertaan misi kemanusiaan seperti GSF ini amat bermakna buat saya. Supaya saya tidak alpa dan hanyut dalam zon selesa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




