am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang tinggal di sebuah sekolah berasrama di sini, terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas limpanya pecah dipercayai akibat dipukul dalam kejadian buli pada Ogos lalu.
Lebih memilukan, kecederaan itu menyebabkan kira-kira 2.5 liter (l) darah keluar akibat pendarahan sebelum doktor terpaksa membuang limpa berkenaan bagi menyelamatkan nyawanya.
Berkongsi kronologi kejadian, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hisyam, 40-an, berkata, pihak keluarga pada awalnya dimaklumkan anaknya mengalami kesukaran bernafas sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital.
Katanya, pemeriksaan doktor kemudian mendapati terdapat banyak darah dalam perut mangsa dan keadaannya semakin serius apabila perutnya mula mengembang.
“Doktor buat pemeriksaan dan kemudian mengesahkan ada darah yang banyak dalam perut. Keadaan anak saya serius kerana perutnya sudah mengembang dan doktor kata perlu buat pembedahan kecemasan.
“Doktor tunjuk gambar dan beritahu limpa anak saya sudah pecah. Pendarahan terus berlaku dan kira-kira 2.5 liter darah sudah keluar,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, doktor kemudian meminta persetujuannya untuk membuang limpa mangsa kerana pendarahan berterusan dan tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelamatkan nyawanya.
Hisyam berkata, anaknya menerima kira-kira 25 jahitan selepas pembedahan dan kini perlu menjalani pemantauan kesihatan susulan selepas kehilangan limpa.
Beliau berkata, keluarga pada mulanya tidak mengetahui bagaimana anaknya boleh mengalami kecederaan serius itu, malah anaknya hanya memberitahu dia terjatuh dari katil.
“Pada awalnya dia (anak) takut nak beritahu. Dia cuma cakap dia jatuh dari katil. Kemudian baru kami tahu cerita sebenar bahawa dia dipukul,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, anaknya dipercayai dipukul oleh beberapa pelajar sebelum mengalami kecederaan pada bahagian perut.
Hisyam berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan antara anaknya dengan beberapa pelajar lain.
“Ketika kejadian itu, anak saya tidak melawan. Dia kena pukul dan selepas itu dia mengalami sakit pada bahagian perut,” katanya.
Beliau berkata, selepas kejadian itu, keluarga salah seorang pelajar yang dipercayai terbabit turut datang berjumpa dengannya ketika anaknya masih menerima rawatan di hospital dan memohon maaf.
Menurut Hisyam, laporan polis pertama berkaitan kejadian itu dibuat oleh pengetua sekolah selepas pihak sekolah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, beliau kemudian turut membuat laporan polis selepas mendapat tahu anaknya dipercayai dipukul dalam kejadian itu.
“Bila saya dapat tahu perkara itu, saya juga buat laporan. Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Hisyam berkata, beliau kini bercadang memindahkan anaknya dari sekolah berasrama itu ke sekolah harian bagi memudahkan pemantauan terhadap keadaan kesihatan dan kebajikannya.
“Saya harap siasatan polis dapat dijalankan dengan telus dan perkara sebenar dapat diketahui. Saya cuma mahu keadilan untuk anak saya dan berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kepada pelajar lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




