Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menggesa kerajaan menyemak dan menaikkan kadar elaun penjawat awam, khususnya Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), supaya lebih selari dengan peningkatan kos sara hidup semasa.
Kadar elaun perlu diberi perhatian
Menurut bekas Menteri Kanan Pendidikan itu menerusi hantaran di platfrom Thread, kadar elaun sedia ada perlu diberi perhatian serius kerana dilihat tidak lagi mencerminkan kos sebenar yang ditanggung penjawat awam.

Sewa bilik di Putrajaya mahal
Beliau mengambil contoh kadar ITP sebanyak RM300 yang disifatkan tidak sepadan dengan kos sewa bilik di Putrajaya yang menurutnya boleh mencecah RM600 sebulan.
“Januari lalu, saya bangkitkan ITP RM300 sedangkan sewa bilik di Putrajaya boleh mencecah RM600,” katanya.
Mohd Radzi menambah, isu berkenaan bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkannya di Parlimen.
Malah, dalam sesi Dewan Rakyat kali ini, beliau turut mengemukakan soalan berhubung keperluan menyemak semula kadar BISH, ITP dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme penyelarasan kadar elaun secara berkala berdasarkan perubahan kos sara hidup.
“Saya amat berharap kadar baharu diumumkan dalam Belanjawan 2027 Jumaat ini,” katanya.
Difahamkan, belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, 9 Oktober 2026.




