Gelagat lucu 'pesta tong ayaq'

Gelagat lucu 'pesta tong ayaq'

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Bagaikan ‘pesta tong ayaq (air)’. Begitu kata pekerja di sebuah pasar raya di Teluk Kumbar di sini, apabila premis berkenaan ‘diserbu’ ratusan pelanggan, setiap hari, yang membeli tong air sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan dijadualkan bermula 10 hingga 14 Januari ini.

Pekerja itu, Amin Jafni berkata, ‘pesta’ berkenaan bermula sejak gangguan bekalan air selama beberapa hari pada 19 Disember tahun lalu, bagi membeli tong air antara saiz 45 hingga 140 liter di pasar rtaya berkenaan.

“Setiap hari, kira-kira 1,000 tong air dihantar pembekal ke sini dan biasanya akan terjual sehingga 800 unit sehari.

“Kunjungan pelanggan paling ramai kira-kira 8 hingga 10 malam bagi membeli tong air dan keadaan sangat meriah seperti di pesta,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut Amin berkata, pelbagai insiden termasuk gelagat lucu yang berlaku sepanjang ‘pesta tong ayaq’ itu.

“Ada yang datang lewat dan sudah tiada tong air, maka berlaku pergaduhan kerana berebut baki tong yang ada.

“Juga gelagat lucu apabila ada pembonceng motosikal telangkupkan tong air di atas kepala bagi membawa pulang tong air bersaiz besar yang sudah dibeli dan bukan sahaja tong air, air mineral pun laris,” katanya lagi.

Tinjauan Harian Metro mendapati, keadaan trafik di laluan berkenaan juga perlahan berikutan pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan kerana ruang di parkir sedia ada, tidak mencukupi.

Terdahulu, seramai 200,000 pengguna di sekitar daerah Seberang Perai dan Barat Daya terjejas susulan pelaksanaan pembaikan saluran paip pecah di dasar sungai Sungai Perai pada 19 Disember lalu.

Sepanjang kejadian itu, terdapat beberapa lokasi di sekitar daerah Barat Daya mengalami gangguan bekalan air selama lapan hari.

Dalam sidang media pada 8 Disember lalu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kira-kira 590,000 penduduk Pulau Pinang dijangka berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula 10 sehingga 14 Januari ini bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top