Tumpat: Kurang seminggu lagi Nur Hayati Ramli dari Kampung To’oh, di sini, akan mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah bagi melanjutkan pengajian, namun dia hanya menyediakan pakaian dan barangan keperluan setakat termampu kerana bukan datang dari keluarga senang.
Nur Hayati, 20, berkata, sebaik menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Ekonomi, bulan lalu, hatinya melonjak gembira kerana ia memang menjadi pilihan pertamanya walaupun di universiti berbeza.
Menurutnya, dia dalam dilema kerana berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam kursus yang diminati dengan masalah kewangan dihadapi keluarga.
Bagaimanapun, katanya, dia memilih menerima tawaran itu dan baru sahaja membayar yuran pendaftaran sebanyak RM714 yang dibayar abangnya menggunakan wang gaji sebagai pendawai elektrik.
“Yang menjadi masalah ialah yuran pengajian sebanyak RM2,133 yang perlu disediakan dan ibu menasihati saya untuk tidak terlalu memikirkannya walaupun kami semua bimbang kerana masa semakin suntuk,” katanya.
Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, hanya keperluan asas yang mampu disediakannya buat masa ini termasuk sebuah komputer riba milik kakaknya yang sudah berusia lebih lima tahun dan baru sahaja dibaiki.
Dia berkata, kakaknya berjanji akan membeli komputer riba baharu apabila gajinya yang hanya bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur mencukupi nanti.
“Ayah sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah, namun sudah dua tahun tidak dapat bekerja kerana asma kronik dan kami tinggal di rumah pusaka bersama nenek.
“Kakak baru empat bulan bekerja kilang manakala abang pula sebagai pendawai elektrik, mereka berdua yang menyara kami sekeluarga,” katanya yang menerima kunjungan Pengerusi Reformis Parlimen Tumpat, Baharom Hassan, di sini, hari ini.
Nur Hayati yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.83 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu bercita-cita ingin menjadi pakar ekonomi dan berharap pengajiannya selama tiga tahun setengah tidak disia-siakan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya, 0399541100728735.
© New Straits Times Press (M) Bhd


