PERKESO bantu lebih 6,800 prospek dapat kerja

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 6,846 prospek berjaya ditawarkan pekerjaan sejak 2020 hingga Ogos lalu menerusi usaha mengintegrasikan semula golongan berkenaan ke dalam pasaran buruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, usaha itu digerakkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, inisiatif berkenaan antara lain bertujuan memanfaatkan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku kedua 2026, jumlah guna tenaga negara mencecah 16.77 juta orang.

Daripada jumlah itu, lebih 2.13 juta atau 12.7 peratus terdiri daripada pekerja asing.

“Data MYFutureJobs sehingga 21 Ogos 2026 turut menunjukkan terdapat 57,731 kekosongan dalam sektor pembuatan, 19,297 dalam pembinaan dan 3,283 dalam pertanian.

“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif dan menyeluruh, termasuk menghargai potensi prospek sebagai penyumbang produktiviti kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Firdaus berkata, karnival berkenaan menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada 800 prospek dengan penyertaan 35 majikan daripada pelbagai sektor.

Lima agensi sokongan dan rakan strategik turut terbabit dalam menyediakan sokongan latihan, kerjaya, keusahawanan serta bantuan pekerjaan kepada peserta.

Bagi siri jelajah nasional karnival itu sepanjang 2026, seramai 1,264 prospek menyertainya dengan penglibatan 59 majikan, yang setakat ini menawarkan 885 pekerjaan.

Beliau berkata, pendekatan integrasi semula melalui pekerjaan turut dilaksanakan di negara seperti Singapura dan Jepun dengan proses pemulihan dihubungkan kepada latihan kemahiran serta penempatan pekerjaan.

Pada masa sama, KESUMA menerusi PERKESO dan Jabatan Penjara Malaysia julung kali memperkenalkan IKON Awards bagi mengetengahkan kisah kejayaan prospek yang membina kerjaya selepas menjalani hukuman.

Khairul Firdaus berkata, kejayaan program integrasi semula kini bukan hanya dinilai berdasarkan penempatan pekerjaan, malah mengambil kira aspek pengekalan pekerjaan serta perkembangan kerjaya prospek dalam jangka panjang.

“Justeru, saya berharap majikan yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing mempertimbangkan golongan prospek sebagai sebahagian sumber tenaga kerja tempatan bagi jawatan yang bersesuaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top