Gementar Tamat Zaman Solo, Intan Ladyana Sempat Turun Padang

Kuala Lumpur: Selepas setahun menjalin hubungan mesra, pelakon Intan Ladyana mengakui berdebar untuk menamatkan zaman solo dengan kekasihnya, pelakon Harris Alif pada hujung minggu ini.
Difahamkan, majlis pernikahan Intan yang bakal berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur itu hanya akan membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja.

“Alhamdulillah, persiapan perkahwinan semuanya hampir siap, cuma dalam keadaan sekarang dengan kes COVID-19 makin meningkat setiap hari, agak susah untuk membuat perancangan atau meletakkan satu tarikh untuk majlis. “Saya berharap agar tidak ada sebarang perubahan saat akhir dan semoga semuanya berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” katanya.

Menjelang hari bahagianya, Intan turut tampil menghulurkan sumbangan kepada komuniti ibu tunggal yang terjejas akibat penularan COVID-19. Inisiatif itu dilakukan bagi menzahirkan rasa syukur di atas pelantikannya sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan, Seri Lady.

“Dalam rezeki saya, ada rezeki orang lain. Siapa sangka dalam kesibukan bekerja dan membuat persiapan perkahwinan, saya mendapat rezeki baharu.

“Jadi, saya terfikir apa salahnya jika saya infaqkan sedikit rezeki yang Allah berikan untuk dikongsi bersama golongan yang memerlukan. Semoga kehidupan dan perkahwinan saya memperoleh keberkatan.

“Selaku duta, saya dan pengasas jenama ini, Juzailah Shariff memberikan sumbangan berupa produk dan wang tunai untuk komuniti ibu tunggal yang terpilih. Mereka ini antara yang terjejas akibat COVID-19.

“Saya sendiri dibesarkan oleh ibu tunggal. Saya nampak macam mana ibu bersusah-payah membesarkan kami tiga beradik. “Bagaimana ibu bahagikan masa untuk keluarga dan pada masa sama bekerja demi kelangsungan hidup. Jadi saya faham masalah yang dihadapi oleh kebanyakan ibu tunggal,” katanya lagi.-TV3

Malay News
Showbiz