am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan beberapa akaun bank yang dipercayai digunakan sebagai ‘keldai akaun’ berhubung dakwaan penipuan dalam urusan jual beli tiket konsert kumpulan K-Pop, BTS.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa akaun bank dipercayai terbabit dalam urusan berkenaan.
“Kami mengesyaki akaun itu digunakan oleh sindiket untuk menerima bayaran daripada mangsa. Berkemungkinan akaun bank ini ialah keldai akaun,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada laporan baharu diterima pihaknya berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak membeli tiket konsert kumpulan K-Pop, BTS daripada sumber tidak rasmi mahupun ‘ejen’ bagi mengelak ditipu.
Hoo dilaporkan berkata, setakat 8 Jun lalu, pihaknya sudah menerima 28 laporan daripada individu mendakwa ditipu dalam urusan jual beli tiket konsert kumpulan itu.
Terdahulu media melaporkan, jualan tiket kumpulan BTS habis dalam tempoh singkat dan membuka ruang kepada penjenayah untuk mencari mangsa yang mahu menyaksikan konsert pada Disember ini.
Untuk rekod tiket konsert terbabit dijual pada harga bermula RM338 sehingga RM1,288 menerusi laman web penganjur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




