Gempa bumi: Struktur bangunan lama di Malaysia tidak direka untuk tahan gegaran

Gempa bumi: Struktur bangunan lama di Malaysia tidak direka untuk tahan gegaran

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun Malaysia tidak berada di atas garisan gempa utama dunia, gegaran dari negara jiran seperti Indonesia tetap mampu menggoncang Pantai Barat Semenanjung dan memberi kesan kepada struktur bangunan tempatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Muhammad Azwan Sulaiman berkata, ancaman sebenar datang daripada struktur bangunan lama yang tidak direka untuk menahan gegaran walaupun berskala sederhana.

“Jika berlaku gempa bumi melebihi magnitud 6.0, kesannya boleh jadi serius, terutamanya di kawasan bandar padat seperti Kuala Lumpur.

“Bangunan tinggi dan struktur lama antara paling berisiko dengan potensi mengalami retakan konkrit, kerosakan kemudahan asas seperti jambatan dan jalan bertingkat, gangguan utiliti serta risiko runtuhan setempat pada bangunan usang.

“Bangunan moden lebih selamat kerana dibina mengikut kod kejuruteraan terkini, namun kerosakan ringan hingga sederhana tetap boleh berlaku.

“Sejak dua dekad lalu, elemen reka bentuk seismik minimum telah diterapkan dalam projek besar atau bangunan tinggi di negara ini.

“Bagaimanapun, kebanyakan bangunan lama kekal terdedah disebabkan kualiti binaan tidak seragam dan kesedaran terhadap risiko gempa masih rendah,” jelasnya.

Azwan berkata, antara ciri penting bangunan tahan gempa ialah reka bentuk fleksibel, penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi dan adanya sistem penyerap gegaran seperti penebat asas (base isolation system).

“Di Malaysia, teknologi canggih seperti penebat asas (base isolator) masih belum digunakan secara meluas kerana kos tinggi dan risiko gempa dianggap rendah.

“Bangunan lama boleh dinaik taraf (retrofitting) supaya lebih tahan gempa dengan menambah dinding geser, mengukuhkan tiang dan rasuk menggunakan keluli atau FRP (Fiber Reinforced Polymer), serta pasang peredam gegaran.

“Namun, proses naik taraf itu melibatkan kos tinggi, gangguan operasi dan kekurangan kepakaran tempatan, menyebabkan hanya bangunan kritikal diberi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azwan turut menegaskan tahap kesedaran rakyat terhadap risiko gempa masih rendah kerana kurangnya pengalaman langsung dan pendedahan terhadap latihan kecemasan.

“Kempen kesedaran, simulasi bencana dan penyebaran maklumat perlu diperkasa bagi melatih masyarakat menghadapi situasi sebenar.

“Malaysia juga boleh belajar daripada negara jiran seperti Indonesia dan Filipina dalam aspek kod bangunan, sistem amaran awal serta kesedaran awam yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Peta Bahaya Seismik Malaysia 2019 adalah alat penting yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam perancangan projek pembinaan biasa.

“Peta ini mampu membantu jurutera dan pemaju mengenal pasti kawasan berisiko dan merancang struktur lebih kukuh bagi menghadapi gegaran.

“Pengemaskinian kod pembinaan berdasarkan peta tersebut penting bagi menjamin keselamatan bangunan pada masa hadapan.

“Meskipun Malaysia dianggap berisiko rendah, pendekatan proaktif dan berterusan perlu diambil bagi memastikan negara benar-benar bersedia menghadapi bencana seismik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top