am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘V 1 MY’ hingga ‘V 9999 MY’ selama lima hari mulai Sabtu ini.
Pelancaran bidaan NPI antara RM300 hingga RM20,000 dijangka memperkukuh promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) selain berpotensi menjana sehingga RM20 juta untuk kempen pelancongan negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata inisiatif itu turut menggalakkan penyertaan sektor awam, swasta dan masyarakat dalam menjayakan agenda nasional berkenaan.
Beliau berkata, siri nombor khas itu dijangka menarik minat pembida yang menghargai nombor pendaftaran bernilai tinggi, sekali gus membantu menambah peruntukan bagi promosi VM2026.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan JPJ, khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas sokongan dalam menjayakan TMM2026,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man pada majlis pelancaran NPI TMM2026, di sini, hari ini.
Tiong berkata, sasaran kerajaan bukan sekadar menarik 47 juta pelawat antarabangsa sempena VM2026, malah memperkenalkan lebih banyak destinasi dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan Malaysia.
Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai mengetahui mengenai keunikan Malaysia kerana peningkatan kemasukan pelancong akan memberi impak besar kepada ekonomi negara, terutama kepada peniaga, pengusaha hotel, penjaja, restoran restoran, pengangkutan dan semua kedai dan pusat beli-belah.
Sementara itu, Chiew berkata Malaysia merekodkan ketibaan 17.5 juta pelancong setakat Mei lalu dan angka itu masih berada dalam landasan sasaran yang ditetapkan kementerian.
Beliau berkata, Tourism Malaysia akan terus memperhebatkan promosi di dalam dan luar negara menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan, media dan pempengaruh bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke Malaysia.
Katanya, ketika ini pihaknya melalui Tourism Malaysia sedang bekerja keras untuk merancang pelbagai aktiviti di dalam dan luar negara supaya momentum sedia ada dapat diteruskan bagi menarik kunjungan pelancong.
Beliau berkata, pejabat Tourism Malaysia di luar negara juga menjalinkan kerjasama dengan pemegang taruh seperti agensi pelancongan dan pempengaruh serta media di negara terbabit untuk mempromosikan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




