Dallas: Penyerang Jepun, Takumi Minamino akan tetap menjadi sebahagian daripada kempen Piala Dunia 2026 negaranya meskipun masih dalam proses pemulihan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang memaksanya melupakan aksi di padang.
Pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan ACL lutut kiri ketika beraksi bersama AS Monaco pada Disember lalu, kecederaan yang lazimnya memerlukan tempoh pemulihan antara enam hingga sembilan bulan.
Kehilangan Minamino dianggap tamparan besar buat Jepun memandangkan bekas pemain Liverpool itu sudah membuat 73 penampilan dan menjaringkan 26 gol bersama skuad Samurai Blue.
Minamino memainkan peranan penting ketika membantu Jepun melayakkan diri ke Piala Dunia, namun kali ini dia akan menyumbang dari luar padang apabila diberikan peranan sebagai mentor dan individu sokongan kepada skuad kendalian Hajime Moriyasu.
“Saya gembira dapat bersama kumpulan ini. Ramai yang membantu saya untuk berada di sini dan saya berharap dapat memberikan sokongan terbaik kepada pasukan menerusi pengalaman yang saya miliki serta pendekatan saya sendiri,” katanya.
Menurut Minamino, tempoh awal selepas mengalami kecederaan adalah saat yang sukar terutama kerana ia berlaku menjelang kejohanan terbesar dunia itu.
“Sudah tentu beberapa minggu pertama amat sukar. Kecederaan adalah sebahagian daripada kehidupan seorang atlet, tetapi masa ia berlaku dan keinginan saya untuk beraksi di Piala Dunia menjadikan situasi itu lebih mencabar,” katanya.
Peranan Minamino mencerminkan pendekatan semakin popular dalam bola sepak moden yang menilai pengaruh pemain di luar padang sama penting dengan sumbangan mereka ketika perlawanan.
Jepun turut membawa bekas kapten, Maya Yoshida, sebagai pemain sokongan sepanjang kempen kali ini.
Samurai Blue akan membuat penampilan kelapan berturut-turut di Piala Dunia dan hadir dengan keyakinan tinggi selepas beberapa kemenangan ke atas pasukan ternama dunia.
Jepun diundi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Sweden dan Tunisia, dengan aksi pembukaan menentang Belanda di Dallas, Texas pada 15 Jun ini
© New Straits Times Press (M) Bhd




