Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95, diesel diunjurkan RM3.5 bilion sebulan – MOF

Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95, diesel diunjurkan RM3.5 bilion sebulan – MOF
Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95, diesel diunjurkan RM3.5 bilion sebulan – MOF

Kerajaan Madani terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Tanggungan subsidi kerajaan bagi petrol RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan susulan konflik Asia Barat, menurut Kementerian Kewangan (MOF). 

Kementerian itu menjelaskan daripada jumlah tersebut, subsidi petrol RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan. 

“Walaupun pasaran petroleum global telah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini namun, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi oleh ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia,” jelas MOF dalam kenyataan pada Rabu.

Harga minyak mentah Brent global kini menyederhana sekitar paras AS$90 setong berbanding AS$120 setong sebelum ini yang mengakibatkan subsidi bulanan bagi petrol RON95 dan diesel melonjak kepada RM5 bilion sebulan pada Mac 2026 dan memuncak kepada RM7.5 bilion pada April 2026 daripada RM700 juta pada Januari 2026, tambah MOF.

MOF menjelaskan bekalan petroleum negara pada masa ini kekal stabil dan mencukupi, dengan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan bagi tempoh akan datang. 

Pada masa sama, Kerajaan Madani terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka masa panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan, menurut kementerian itu.

MOF memaklumkan pendekatan bersubsidi bersasar membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar.

Berdasarkan program Budi Madani RON95 (BUDI95), Kerajaan Madani terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak. 

“Kerajaan akan terus mengambil pendekatan seimbang untuk memastikan rakyat terus dilindungi, di samping mengekalkan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara,” menurut kementerian itu. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top