
Gempa bumi 6.1 magnitud melanda Cuba, gegaran turut dirasai di Mexico, Florida. Foto: Media sosial
HAVANA – Satu gempa bumi kuat yang dianggap luar biasa berlaku di luar pantai barat laut Cuba pada Isnin, lapor Reuters.
Gempa bermagnitud 6.1 itu menggegarkan beberapa kawasan di Cuba, Mexico dan Florida yang lazimnya tidak terdedah kepada kejadian itu.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 104 kilometer di barat laut Mantua, Cuba, iaitu sekitar dua hingga empat jam perjalanan darat dari ibu negara.
Pakar Seismologi USGS, Paul Earle berkata, gempa bumi yang berlaku pada Isnin itu adalah sesuatu yang luar biasa bagi kawasan Caribbean berkenaan kerana ia berlaku di dalam plat tektonik, sedangkan kebanyakan gempa bumi lazimnya berlaku di sempadan plat tektonik.
Menurutnya, gempa sekuat itu tidak pernah direkodkan dalam lingkungan 322 kilometer dari lokasi kejadian sejak tahun 1880.
Setakat ini, pihak berkuasa belum melaporkan sebarang kerosakan besar atau kemalangan jiwa.
Namun, kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Cuba memandangkan krisis ekonomi yang berlarutan selama beberapa dekad telah menyebabkan banyak bangunan berada dalam keadaan uzur.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila gangguan bekalan elektrik yang meluas di rantau tersebut menyukarkan komunikasi.
USGS turut melaporkan gegaran dirasai hingga ke Florida.
Di Mexico, gegaran turut dirasai di kawasan tumpuan pelancong seperti Cancun, Playa del Carmen dan Tulum di Semenanjung Yucatan.
Penduduk serta pekerja di pusat bandar Cancun yang tidak biasa berdepan gempa bumi kuat dilaporkan keluar meninggalkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Protokol kecemasan turut diaktifkan di negeri Yucatan dan Quintana Roo, namun kedua-dua gabenor negeri berkenaan memaklumkan menerusi media sosial bahawa tiada laporan kerosakan diterima setakat ini.
Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat mengesahkan tiada amaran atau pemantauan tsunami dikeluarkan susulan kejadian gempa tersebut.



