am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, keputusan sudah dibuat, semua orang boleh bertenang sekarang,” kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari susulan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninggalkan ibu pejabat PAS, malam tadi.
Ketika ditanya sama ada PAS masih kekal dalam Perikatan Nasional (PN), beliau menjawab, “setakat malam ini (semalam), ya”.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mengumumkan parti itu secara rasmi menamatkan hubungan kerjasama dengan BERSATU.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu selepas meneliti aspek dasar, pertimbangan syarak dan kepentingan umum berkaitan kerjasama politik parti itu berdasarkan prinsip penyatuan ummah.
Abdul Hadi berkata, mesyuarat berkenaan turut menilai kedudukan semasa dan hala tuju hubungan PAS-Bersatu menerusi laporan, kajian serta penilaian terhadap landskap politik semasa.
Keputusan itu dibuat susulan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua parti sejak kebelakangan ini sehingga mendorong PAS menilai semula kerjasama yang terjalin.
Kerjasama antara PAS dan BERSATU bermula secara rasmi pada Ogos 2020 menerusi penubuhan PN, sekali gus menjadikan hubungan politik antara kedua-dua parti itu berlangsung selama kira-kira enam tahun sebelum berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




