Gencatan senjata Hizbullah-Israel bermula 4 pagi Rabu – AS

Gencatan senjata Hizbullah-Israel bermula 4 pagi Rabu –  AS

Baitulmaqdis: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, gencatan senjata Lubnan akan berkuat kuasa awal Rabu, selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, gencatan senjata dengan Hizbullah akan membolehkan Israel menumpukan perhatiannya kepada Hamas dan musuh ketatnya, Iran.

Gencatan senjata akan bermula pada 4 pagi waktu tempatan (0200 GMT), kata Biden, bercakap di Rumah Putih selepas pejabat Netanyahu berkata, menterinya sudah meluluskan perjanjian itu.

Sepuluh menteri mengundi menyokong dan satu menentang, kata pejabat perdana menteri Israel.

Amerika Syarikat adalah sekutu utama dan penyokong tentera Israel, dan Biden memuji perjanjian itu sebagai “berita baik” dan “permulaan baharu” untuk Lubnan.

Netanyahu mengucapkan terima kasih kepada Biden atas “pembabitannya” dalam pembrokeran perjanjian itu.

AS, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara Kumpulan G7 semuanya mendesak untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran selepas lebih setahun keganasan.

Biden dan Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, gencatan senjata akan melindungi Israel daripada Hizbullah dan mewujudkan keadaan untuk “tenang yang berpanjangan.”

AS dan Perancis akan memastikan perjanjian itu “dilaksanakan sepenuhnya”, kata satu kenyataan bersama.

Dalam ucapan di televisyen menjelang undian kabinet keselamatannya, Netanyahu berkata: “Tempoh gencatan senjata bergantung kepada apa yang berlaku di Lubnan.”

Pengumuman itu menyusuli hari serangan paling berat di Beirut – termasuk beberapa siri serangan di pusat bandar itu – sejak Israel meningkatkan kempen udaranya di Lubnan pada akhir September sebelum menghantar tentera darat.

Serangan diteruskan selepas ucapan Netanyahu, dengan daerah komersial Hamra, diserang.

Hizbullah, yang masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai gencatan senjata, mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas utara Israel selepas perjanjian itu diumumkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top