am@hmetro.com.my
Penampang: Kelicikan ‘Geng Awen’ yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah ini dan Putatan akhirnya tumpas apabila lima anggotanya termasuk ketua kumpulan berkenaan ditahan polis dalam serbuan khas, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, semua suspek berusia 19 hingga 42 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata hasil soal siasat ke atas tangkapan awal itu membawa kepada penahanan tiga lagi individu di Kota Marudu.
Katanya, ketiga-tiga suspek dikenal pati bertindak sebagai pembeli kepada motosikal yang dicuri suspek awal.
“Secara keseluruhan, polis berjaya menahan lapan lelaki termasuk ketua kumpulan berusia 22 tahun.
“Empat daripada mereka didapati positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, ketika operasi itu, polis turut merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri iaitu dua Yamaha Y15Z, tiga Yamaha 135LC dan sebuah Yamaha 125Z dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM40,000.
“Dengan tertumpasnya kumpulan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” katanya.
Sammy berkata, siasatan turut mendapati ketua kumpulan terbabit mempunyai 12 rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal dan dadah.
“Lima lagi ahli kumpulan turut mempunyai rekod jenayah sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




