mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan Geng Awey dan Geng Alep yang terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang dengan penahanan tujuh suspek menerusi Ops Lejang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, dalam operasi pertama pada 6 Disember lalu, polis menjalankan tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dan menahan lima lelaki berusia 31 hingga 43 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dikenali Geng Awey.
Menurutnya, hasil soal siasat, mereka mengaku terbabit dalam 21 kes curi kenderaan dengan pecahan 19 kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, satu kes di IPD Sentul dan satu kes di IPD Cheras di mana mereka aktif sejak 2016 membabitkan nilai kerugian RM139,600.
“Polis dipandu arah suspek kemudian berjaya menemui dan merampas sembilan telefon bimbit, tablet, sembilan rangka motosikal dan dua motosikal.
“Siasatan lanjut ke atas suspek kelima kemudian membawa kepada penemuan barang kes yang dibuang ke dalam sungai dengan bantuan bomba iaitu tujuh rangka motosikal, dua komponen motosikal, dua rim motosikal, fork hadapan motosikal dan tempat pijak belakang motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mohamad Lazim berkata, dalam operasi kedua, polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun dikenali Geng Alep pada 17 Disember lalu di tepi jalan AU 5D/7, Lembah Keramat di mana suspek pertama mengaku terbabit dalam tujuh kes curi kenderaan sementara suspek kedua dibebaskan dengan jaminan polis.
“Geng ini aktif tahun ini di sekitar Wangsa Maju, Sentul dan Cheras di mana soal siasat kemudian merampas sebuah motosikal Yamaha 135 LC, spanar dan pemutar skru.
“Sejumlah empat kertas siasatan dibuka iaitu dua disiasat IPD Wangsa Maju, satu IPD Sentul dan satu lagi IPD Cheras di mana kita berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal di daerah ini dengan nilai kerugian RM128,000,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kedua-dua geng ini adalah mencuri motosikal yang berkunci dengan merosakkan pemegang motosikal sebelum menunda kenderaan itu ke bengkel haram untuk dileraikan dan dijual komponennya.
“Mereka turut menggunakan media sosial bagi menjual komponen itu dengan anggaran RM300 ke RM700.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




