Lelaki warga China pandu lawan arus, bawah pengaruh alkohol didakwa di mahkamah esok

Lelaki warga China pandu lawan arus, bawah pengaruh alkohol didakwa di mahkamah esok

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lelaki warga China yang memandu melawan arus serta di bawah pengaruh alkohol di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani, Ahad lalu akan didakwa di Mahkamah Sungai Petani, esok.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata, siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan selepas suspek direman selama empat hari bermula 27 April lalu hingga esok.

“Kes itu sudah lengkap dan kita akan dakwa suspek yang berusia 50-an itu esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Adzli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 45C(6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, suspek juga enggan memberikan sampel darah ketika diminta polis.

“Dia turut meronta dan menendang kenderaan polis sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga China yang memandu dalam keadaan melawan arus di Jalan Lencongan Barat, di sini, dipercayai di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah kereta lain.

Kejadian itu tular di media sosial hari ini selepas kenderaan lelaki dirakam dipandu dalam keadaan merbahaya.

Suspek yang juga pengarah sebuah syarikat itu hanya mengalami luka di muka dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top