Geng kapcai disyaki merusuh dipercayai tidak puas hati dikompaun MBMB

Geng kapcai disyaki merusuh dipercayai tidak puas hati dikompaun MBMB

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Polis Melaka menahan 23 individu daripada dua kumpulan motosikal kapcai selepas disyaki terbabit kejadian merusuh berdekatan Bulatan Kancil di hadapan Bangunan Stadthuys, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada sekumpulan motosikal yang dikompaun oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kumpulan pertama terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warga tempatan dari Kuala Lumpur dan Melaka memasuki kawasan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di Banda Hilir dengan menunggang motosikal dan meletakkannya di hadapan Bangunan Stadthuys.

Katanya, berikutan ingkar arahan untuk beredar kumpulan motosikal kapcai itu kemudiannya dikompaun oleh anggota penguat kuasa MBMB.

“Disebabkan tidak berpuas hati kumpulan itu kemudian mengoyakkan notis kompaun dan memaki hamun penguat kuasa menyebabkan sekumpulan motosikal dari negeri ini tidak berpuas hati dan berlaku pergaduhan antara mereka.

“Akibatnya pergaduhan itu seorang mangsa daripada kumpulan kedua cedera dipukul dengan topi keledar dan ibu kunci (padlock) oleh peserta kumpulan pertama dan dirawat di hospital,” katanya pada sidang media di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan polis menahan 23 individu berusia antara 20-an hingga 30-an sehingga lewat tengah malam tadi.

“Seramai 22 individu dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lelaki berusia 30-an direman selama tiga hari kerana dipercayai memukul mangsa menggunakan senjata.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top