KULAI: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah merangka tiga senario berbeza sebelum membuat keputusan sama ada menyokong Pas dan Parti Wawasan Negara atau terus kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bagaimanapun berkata, pihaknya memilih senario pertama iaitu kerjasama antara parti-parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN) kekal, termasuklah penglibatan Wawasan.
Katanya, gabungan PN telah lama ditubuhkan selain telah melalui beberapa siri pilihan raya sebelum berjaya mendapatkan sokongan dan kepercayaan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Senario yang terbaik sekali ialah semua komponen PN masih bersama-sama hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Itu senario pertama, dan kita akan terus berusaha memastikan ia berlaku.
“Tetapi jika tidak boleh mencapai senario itu, kita perlu pilih sama ada senario kedua atau ketiga, iaitu memilih satu kerjasama sama ada bersama Pas ataupun dengan Bersatu. Maknanya kita kena buat pilihan gabungan mana yang boleh memenangkan Gerakan dan PN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, di sini hari ini.
Tambah Dominic, pihaknya telah membuat beberapa ketetapan sebelum ini namun terpaksa mengadakan perbincangan semula selepas beberapa perkembangan terkini kancah politik tempatan.
“Buat masa ini kita tidak boleh umumkan apa-apa keputusan lagi kerana mungkin akan ada perubahan, jadi keputusan yang akan kita buat bergantung kepada perubahan lanskap politik sekarang.
“Kedua-dua pihak mahukan logo dan jenama PN, oleh itu kita (Gerakan) masih berusaha memastikan senario pertama tercapai. Iaitu semua bekerja bersama-sama kerana senario itu akan memastikan kemenangan lebih besar.
“Semua pihak mahu bergabung kerana itu akan menjanjikan kemenangan, persefahaman antara parti komponen dan jentera juga sudah terjalin. Jadi sayang jika kita tidak boleh bekerjasama,” katanya.
Semalam, Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.-UTUSAN




