Guangzhou: Tindakan pantas seorang pekerja rumah mayat yang menyedari pergerakan kecil pada kaki seorang wanita yang disangka sudah meninggal dunia berjaya menyelamatkan mangsa daripada dibakar dalam kejadian di wilayah Guangdong, China, lapor South China Morning Post.
Kini, Chen Cuiju, 49, diiktiraf sebagai artis kelas pertama kebangsaan dalam bidang seni lukis tradisional China selepas menerima tunjuk ajar daripada pelukis terkenal, Chen Zhonglian yang simpati dengan kisah hidupnya.
Chen yang membesar dalam keluarga miskin di kawasan luar bandar wilayah Guizhou dilaporkan berhijrah ke Dongguan pada 1995 untuk mencari pekerjaan di sebuah kilang.
Bagaimanapun, tempoh bekerja yang panjang serta keadaan persekitaran yang serba kekurangan di kilang terbabit menyebabkan Chen mengalami masalah kekurangan zat makanan yang serius.
Pada suatu hari, ketika mengalami demam panas dan berjalan bersendirian berhampiran sungai, Chen tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.
Beberapa hari kemudian, tubuhnya ditemukan terbaring di tebing sungai oleh seorang tukang bot dalam keadaan kotor serta mengalami kesukaran bernafas.
Disebabkan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, Chen disangka sebagai mayat yang tidak dikenali sebelum dihantar ke sebuah rumah mayat di daerah berkenaan.
Ketika seorang pekerja rumah mayat yang dikenali sebagai He sedang membuat persiapan untuk membakar “mayat” itu pada Julai tahun sama, dia menyedari terdapat pergerakan kecil pada kaki wanita terbabit.
Sebaik menyedari wanita itu masih hidup, He segera menghubungi pihak polis sebelum bergegas membawa Chen ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Doktor mengesahkan Chen mengalami masalah kekurangan zat makanan, dehidrasi dan kegagalan pelbagai organ. Namun, pihak hospital tetap meneruskan rawatan dan menanggung sepenuhnya kos perubatannya.
Selepas lebih tiga bulan menerima rawatan intensif di bawah pemantauan rapi, Chen akhirnya sedar semula dan berjaya dipertemukan dengan keluarganya hasil bantuan pihak berkuasa tempatan.
Kisah penderitaannya itu mendapat perhatian Zhonglian yang kemudian menjemput wanita itu mempelajari seni lukis di Jinhua, Zhejiang selain menanggung kos sara hidup dan pendidikannya.
Chen akhirnya berjaya meraih anugerah seni lukis pertamanya pada 1999. Kisah benar yang kembali tular dalam talian itu disifatkan netizen sebagai satu keajaiban hasil ketabahan mangsa serta sifat belas kasihan petugas hospital yang menyelamatkannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




