PRN N9: PH lancar manifesto malam esok

PRN N9: PH lancar manifesto malam esok

am@hmetro.com.my

Seremban: Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, di sini, malam esok.

Ketua Sekretariat Pusat Media PRN Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Zaki Md Sabri, bagaimanapun tidak memperincikan kandungan manifesto berkenaan dan meminta semua pihak menunggu sehingga ia diumumkan.

Beliau berkata, antara kandungannya sudah pasti berkaitan pelbagai usaha pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran negeri ini di bawah pimpinan Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Apa yang boleh saya kongsikan setakat ini ialah berkaitan prestasi dan kejayaan kerajaan PH di bawah pimpinan Menteri Besar serta usaha-usaha dan rancangan untuk masa depan negeri ini.

“Kecemerlangan pentadbiran Aminuddin (Tok Min) akan menjadi faktor terbaik dan sesi penerangan di bawah juga terus berjalan lancar,” katanya pada sidang media di Klana Resort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Difahamkan, pelancaran manifesto berkenaan bakal disempurnakan Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PRN Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Muhammad Zaki berkata, jentera PH yang turun berkempen setakat ini sentiasa mengekalkan disiplin yang baik dengan membawa mesej penting iaitu mengekalkan Negeri Sembilan dalam kestabilan politik demi kelangsungan kemajuan.

Beliau berkata, kesemua calon PH bergerak ke sasaran kempen masing-masing dan mengambil peluang untuk bertemu dengan pengundi yang memberikan reaksi positif serta sokongan yang membakar semangat.

“Tekad kami untuk bertemu seramai mungkin pengundi bagi menyatakan komitmen calon PH untuk menjadi jambatan penyelesaian masalah rakyat dan bukan semata-mata menarik undi.

“Setakat ini kami berpuas hati dengan jentera kempen dengan memastikan semua pemasangan mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Muhammad Zaki turut memaklumkan mengenai satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban yang dibuat oleh sekumpulan orang awam terhadap seorang lelaki yang dipercayai ahli sebuah parti politik.

Katanya, individu terbabit secara jelas menghina Yamtuan Besar Negeri Sembilan dalam satu hantaran komen di media sosial.

“Justeru, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak agar kekal dalam kempen yang positif, mengelakkan perkara 3R serta tidak menghina institusi Raja-Raja Melayu dan Institusi Adat dalam apa jua situasi.

“Ini adalah perlawanan demokrasi rakyat yang harus dimuktamadkan di peti undi, bukan dengan membakar api sentimen kebencian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top