GGR Motor tetap membara buru mahkota drag EV Asia

GGR Motor tetap membara buru mahkota drag EV Asia

Kuala Lumpur: Insiden kemalangan yang menimpa jentera GGR Motor di Buriram tidak memadamkan semangat pasukan itu, sebaliknya mengukuhkan tekad mereka untuk bangkit dan memburu kedudukan teratas dalam arena drag motosikal elektrik (EV) di peringkat Asia.

Penyertaan GGR Motor dalam kejohanan antarabangsa NGO Asean Super Fast 2025 di Buriram United Dragster Track dari 9 hingga 11 Januari lalu menjadi medan ujian sebenar keupayaan pasukan itu apabila berdepan cabaran teknikal dan persekitaran yang jauh berbeza berbanding litar lain yang pernah disertai sebelum ini.

Pelumba GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi atau lebih dikenali sebagai Toie berkata, pasukan memulakan saingan dalam kategori motosikal elektrik (EV) body standard dan berjaya meraih tempat ketiga serta keempat tanpa sebarang insiden sepanjang perlumbaan.

Menurutnya, persaingan menjadi lebih sengit pada hari berikutnya apabila pasukan menyertai kategori body open, yang menyaksikan penyertaan lebih banyak jentera serta tahap saingan yang lebih tinggi.

Dalam kategori itu, GGR Motor merekodkan catatan masa 8.9 saat, yang membolehkan pasukan meraih tempat ketiga, manakala sebuah lagi jentera turut menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Bagaimanapun, peluang untuk mencatat masa lebih baik tidak dapat direalisasikan selepas dia terbabit dalam insiden kemalangan ketika cubaan terakhir perlumbaan.

Menurut Toie lagi, berdasarkan potensi jentera, pasukan yakin catatan masa yang lebih pantas masih mampu dicapai, namun insiden berkenaan menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan sedia ada.

“Banyak faktor perlu diambil kira seperti suspensi, berat pelumba, aerodinamik, suhu cuaca dan tahap cengkaman permukaan trek.

“Sebelum ini ketika ujian di Avenue Track, saya pernah mencatat masa sekitar 8.5 hingga 8.6 saat dengan kelajuan 280 kilometer sejam, namun catatan itu sukar dicapai di Buriram kerana keadaan trek dan faktor teknikal yang berbeza,” katanya.

Penyertaan di Buriram turut menghimpunkan beberapa pasukan dan bengkel perlumbaan tempatan yang tampil di bawah satu gabungan, termasuk GGR Motor, selain ESR, Pro Garage, BOT Racing, ZTP Motorworks dan Jeffry Motor Suzuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top