Accra: Kerajaan Ghana menyelar tindakan Kanada yang enggan meluluskan visa pemain tengah kebangsaan mereka, Thomas Partey, bagi aksi Piala Dunia menentang Panama minggu depan dengan menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kuku besi dan amat tidak adil’.
Kementerian Luar negara Afrika Barat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka difahamkan keputusan itu dibuat bersandarkan kes prosiding jenayah yang masih belum selesai di Britain.
Partey, 32, yang juga bekas perancang Arsenal dan kini menyarung jersi kelab Sepanyol, Villarreal, sedang berdepan tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual di Britain.
Bagaimanapun, pemain itu secara konsisten menafikan semua pertuduhan terbabit.
Meskipun dilarang memasuki Kanada, Partey yang kini berada bersama skuad Ghana di Boston, Amerika Syarikat (AS) masih dibenarkan untuk beraksi dalam baki perlawanan Kumpulan L menentang England di bandar berkenaan serta aksi menentang Croatia di Philadelphia.
Kementerian Luar Ghana memaklumkan mereka sudah menghantar nota bantahan rasmi pada Khamis lalu bagi meminta Kanada menyemak semula keputusan berkenaan.
“Kerajaan Republik Ghana menyatakan bantahan keras susulan keputusan kuku besi dan amat tidak adil oleh Kanada.
“Walaupun kami menghormati hak kedaulatan Kanada untuk menguatkuasakan undang-undang Imigresen mereka, Ghana berpendapat tindakan bersandarkan pertuduhan yang belum terbukti bersalah tanpa sebarang keputusan muktamad mahkamah menimbulkan persoalan asas mengenai keadilan dan ketelusan,” menurut kenyataan kementerian itu.
Menjawab isu itu, jurucakap Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada menegaskan status sebagai tuan rumah kejohanan besar tidak akan mengubah undang-undang Imigresen sedia ada negara itu.
Pendirian Kanada: ‘Setiap individu yang ingin memasuki Kanada akan dinilai secara peribadi, berdasarkan fakta semasa dan undang-undang yang berkuat kuasa’.
Sementara itu, FIFA dalam kenyataan memaklumkan badan induk bola sepak dunia itu sama sekali tidak terbabit dalam urusan atau proses Imigresen mana-mana negara tuan rumah.
Sebelum ini, AS turut menyekat kemasukan pengadil dari Somalia, Omar Abdulkadir Artan, yang sepatutnya bertugas dalam kejohanan Piala Dunia. Pegawai daripada pentadbiran Presiden Donald Trump mendakwa sekatan itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan ‘kaitan pengadil terbabit dengan ahli organisasi pengganas yang disyaki’.
Sekembalinya ke Somalia, Artan menyifatkan keputusan penolakan visa itu sebagai ketentuan ‘takdir’ dan menggesa rakyat Somalia yang lain untuk tidak patah semangat susulan insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




