Ritual berkaki ayam bawa tuah

Ritual berkaki ayam bawa tuah

Zapopan: Penyerang Korea Selatan, Oh Hyeon-gyu mempunyai cara tersendiri untuk menaikkan semangat sebelum perlawanan apabila mengamalkan ritual berjalan tanpa kasut di atas padang.

Ritual unik itu kembali menjadi perhatian selepas pemain berusia 25 tahun berkenaan muncul wira Korea Selatan ketika membantu pasukannya menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026.

Hyeon-gyu yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol kemenangan pada minit ke-80 selepas Hwang In-beom menyamakan kedudukan buat Korea Selatan.

Selepas perlawanan, media Korea Selatan melaporkan pemain Besiktas itu mempunyai beberapa rutin yang diamalkannya sejak sekian lama setiap kali turun beraksi.

Antaranya ialah duduk di bahagian paling depan dalam bas pasukan kebangsaan dan menjadi individu pertama turun dari kenderaan itu sebelum perlawanan.

Dia juga akan melipat sebelah kaki seluar pendeknya serta membalut tangan kanan dengan pita pelekat sebagai sebahagian daripada rutin peribadinya.

Namun yang paling mencuri perhatian adalah tabiat berjalan berkaki ayam di atas padang sebelum sepak mula.

Video memaparkan Hyeon-gyu berjalan tanpa kasut di atas rumput ketika bersama Besiktas sebelum ini pernah tular di media sosial.

Menurut pemain itu, amalan berkenaan dilakukan sebagai simbolik untuk ‘menakluk’ gelanggang yang bakal digunakan.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci ritual berkenaan, amalan serupa pernah dilakukan beberapa pemain lain termasuk bekas pertahanan Barcelona, Santiago Mina.

Lebih mengagumkan, Hyeon-gyu sebenarnya beraksi dalam keadaan kurang sihat selepas mengalami demam menjelang perlawanan.

“Suhu badan saya meningkat sehingga 38 darjah Celsius dan saya tertanya-tanya sama ada mampu bermain atau tidak.

“Terima kasih kepada semua kakitangan dan doktor kerana membantu saya sehingga dapat beraksi dan menjaringkan gol,” katanya.

Gol itu adalah jaringan ketujuh Hyeon-gyu bersama Korea Selatan dan yang pertama di pentas Piala Dunia selepas gagal disenaraikan dalam skuad negara pada edisi 2022 di Qatar.

Korea Selatan akan meneruskan kempen Kumpulan A menentang tuan rumah Mexico yang menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi pembukaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top