GHF sah jadi ‘perangkap maut’ penduduk Gaza

GHF sah jadi ‘perangkap maut’ penduduk Gaza
Pengagihan bekalan makanan tidak dibuat secara teratur hingga menyebabkan ia diserbu penduduk Gaza yang kelaparan. Foto Agensi

Pengagihan bekalan makanan tidak dibuat secara teratur hingga menyebabkan ia diserbu penduduk Gaza yang kelaparan. Foto Agensi

GENTING GAZA – “Kontraktor Amerika yang mengawal hab bantuan di Genting Gaza menggunakan peluru hidup dan bom kejutan terhadap pencari bantuan yang kelaparan”.

Pendedahan berserta bukti rakaman video itu dibuat dua staf Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) kepada Associated Press (AP) kerana tidak lagi mahu bersubahat dengan ‘operasi dalaman’ majikan mereka yang disifatkan sebagai amalan salah dan tidak berperikemanusiaan.

Menurut mereka, kakitangan keselamatan yang ditempatkan di pusat agihan itu ternyata tidak berkelayakan, membawa senjata berbahaya dan sentiasa bertindak sesuka hati.

“Mereka turut menggunakan semburan lada ke arah penduduk Palestin. Tembakan sengaja dilepaskan dari pelbagai arah dan mencederakan orang awam tidak bersenjata,” ujar salah seorang daripada mereka.

Tambahnya, staf di lokasi itu juga diarahkan untuk menyemak mana-mana dokumen dibawa penduduk Palestin yang dianggap mencurigakan dan berkongsi maklumat itu dengan tentera Israel.

Tindakan berani membuka mulut itu,sekali gus mengesahkan dakwaan beberapa agensi bantuan sebelum ini bahawa GHF yang disokong Amerika Syarikat (AS) sememangnya berfungsi sebagai ‘perangkap maut’.

Meskipun berdepan bantahan banyak pihak, Washington pada bulan lalu bersedia menyalurkan dana berjumlah AS$30 juta (RM126 juta) untuk memastikan pusat bantuan ciptaan Israel itu terus beroperasi. – Agensi

Info:

>Sejak GHF mula beroperasi pada akhir Mei, lebih 500 penduduk Palestin maut ditembak di hab bantuan itu.

>Ia mendakwa lebih 950,000 kotak makanan telah diagihkan sejak lebih sebulan lalu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan lain enggan bekerjasama dengan GHF kerana bimbang penubuhannya bertujuan untuk merealisasikan matlamat jahat Israel.

Scroll to Top