Giggs boleh dipenjara lima tahun

Giggs boleh dipenjara lima tahun

LONDON: Legenda Manchester United, Ryan Giggs boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun selepas didakwa menyerang dua wanita dan melakukan paksaan.

Dakwaan itu berikutan pergaduhan dengan bekas teman wanita, Kate Greville di kediamannya.

Bos Wales, Giggs, 47, yang dibawa ke ibu pejabat polis Swinton untuk didakwa berkata: “Saya akan mengaku tidak bersalah di mahkamah.”

Idola bola sepak itu didakwa “mengawal” bekas teman wanitanya selama tiga tahun.

Bekas bintang Manchester United dan pengurus Wales itu didakwa melakukan paksaan dan mengawal eksekutif perhubungan awam, Kate Greville.

Giggs juga didakwa melakukan serangan yang membahayakan Kate, 36.

Dia juga didakwa melakukan perkara sama terhadap seorang wanita berusia 20-an.

Malam tadi dia berjanji akan membersihkan namanya ketika Persekutuan Bolasepak Wales mengesahkan bahawa pembantunya, Robert Page akan mengambil alih pasukan kebangsaan pada Kejuaraan Eropah musim panas ini.

Paksaan atau kelakuan mengawal menjadi satu kesalahan pada 2015 dan membawa hukuman maksimum lima tahun penjara jika didapati bersalah.

Kesalahan menyerang pula membawa hukuman maksimum penjara enam bulan, namun hukuman boleh berjalan serentak.

Dalam satu kenyataan, Giggs berkata: “Saya menghormati proses undang-undang dan faham dakwaan itu sangat serius.

“Saya akan mengaku tidak bersalah di mahkamah dan tidak sabar untyk membersihkan nama saya.

“Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat Robert Page, staf kejurulatihan, pemain dan penyokong pada Euro musim panas ini.” – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top