am@hmetro.com.my
Nilai: “Saya tidak kisah apa orang nak cakap, yang penting saya cari rezeki halal untuk persediaan hari bahagia saya nanti,” ujar penjual belon jalanan, Mohd Khairul Anwar Ruslan, 28.
Lebih dikenali sebagai Abang `Spiderman’ kerana kostum yang dipakai, Mohd Khairul Anwar melakukan sudah kerja ini secara sepenuh masa sejak lima tahun lalu di Dataran Nilai, di sini.
Menurutnya, majlis raja seharinya sepatutnya berlangsung pada September tahun lalu, namun dia terpaksa menangguhkan perkahwinannya sementara mengumpul ‘duit belanja’ diperlukan.
Jelasnya lagi, dia memang mahu melihat majlis perkahwinannya dijalankan seperti orang lain walaupun dalam keadaan sederhana dan bersyukur kerana tunang setia menunggu.
“Kalau ikutkan boleh nikah dulu dan buat majlis kemudian hari sementara kumpul duit belanja kenduri. Tetapi berkahwin sekali sahaja, saya mahu isteri merasai majlis yang sempurna” katanya yang tamat pendidikan di tingkatan dua.
Menceritakan pengalaman kerjanya, Mohd Khairul Anwar berkata, sudah banyak kerja yang dilakukannya, namun terpaut dengan kerjaya menjual belon jalanan.
“Salah satu sebabnya, saya suka budak, saya suka melayan kerenah mereka. Titik permulaannya ketika saya tengok ada badut buat belon sambil melayan kanak-kanak.
“Dari situ saya tahu rupanya ada kursus khas untuk belajar buat pelbagai bentuk belon. Saya ke Kuala Lumpur untuk belajar buat belon dengan yuran kira-kira RM1,000.
“Bukan itu sahaja, saya diajar untuk melayan pelbagai jenis kerenah kanak-kanak dan berkomunikasi dengan orang ramai selain kaedah bersesuaian mengikut majlis,” katanya.
Jelasnya lagi, kebiasaannya dia akan ke Pantai Bagan Lalang di Sepang setiap Sabtu dan Ahad manakala pada waktu malam Jumaat Sabtu dan Ahad dia beroperasi di Dataran Nilai.
Tambahnya, dia berasal dari keluarga yang susah dan tidak mahu keluarga yang bakal dibina nanti meneruskan kitaran itu dengan bekerja keras sebagai penjual belon jalanan.
“Mungkin orang ramai ada pandangan masing-masing. Selagi ia halal, saya tidak kisah apa orang nak cakap kerana ini jalan yang saya pilih,” katanya turut mempunyai kostum ultraman.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh hubungi Mohd Khairul Anwar di talian 0178422668.
© New Straits Times Press (M) Bhd




